fbpx

PU Riz Nak Bagi RM300 Buat Pelajar 5A SPM

Memang bertuah pelajar yang baru sahaja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam. Mana tidaknya, pendakwah bebas PU Riz mahu hadiahkan RM300 kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A.

PU Riz berkata ibu bapa yang mempunyai anak atau pelajar itu sendiri boleh terus menghubunginya dengan menghantar DM di Instagram beserta bukti slip keputusan.

BACA: Kongsi Foto Dengan Kapsyen ‘Harapan’, Netizen Doa PU Riz Tabah Hadapi Ujian

“Setiap seorang akan dapat RM300. Saya mahu berkongsi rezeki dengan adik-adik ini sekali gus mahu memberi galakan kepada mereka untuk terus berusaha pada masa akan datang.

“Saya tahu nilai ini tak besar, tapi apa saya cuba nak sampaikan adalah setiap usaha itu pasti akan peroleh kebaikan dan ganjaran. Buktinya mereka sudah belajar bersungguh-sungguh dan dapat keputusan cemerlang. Kemudian dapat pula ganjaran hadiah,” katanya.

Dalam pada itu, PU Riz turut menjemput semua pelajar yang terpilih itu menyertai sesi siaran langsung di Instagram pada jam 1 petang esok.

“Sedikit sebanyak mereka boleh berkongsi tips pembelajaran atau apa saja yang diamalkan sehingga mendapat keputusan cemerlang.

“Saya anggap perkongsian ini nanti bukan saja berguna pada semua yang menonton, tapi dapat dijadikan inspirasi kepada pelajar lain yang bakal menduduki SPM akan datang.Mana tahu perkongsian ini nanti dapat menjadi asbab kepada kejayaan ramai pelajar pula,” katanya.