Enam jenis ubat dirampas pihak polis dari kediaman usahawan dan pempengaruh media sosial Ridzokumura untuk siasatan berhubung kematian isterinya, Akiko Okumura, Jumaat lalu.
Memetik Harian Metro, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan masih dijalankan dengan melihat beberapa sudut.
BACA: “Akiko Mungkin Tergelincir Masa Kemas Rumah” – Ridzokumura Dedah Kejadian Isteri Jatuh Kondo
Menurutnya, sudut siasatan kes termasuk melihat sama ada mangsa mempunyai masalah kemurungan atau kesihatan yang memerlukan ubat-ubatan.
“Ada beberapa ubat dalam bentuk pil yang kita rampas daripada rumah itu (tempat kejadian) yang dipercayai daripada Jepun.
“Kita akan dapatkan bantuan daripada pihak kedutaan (Jepun) untuk kenal pasti apa ubat-ubat yang dia (Akiko) ambil, yang mungkin ada kaitan dengan insiden ini,” katanya.
Sementara itu, apabila ditanya sama ada Akiko mempunyai sejarah menerima rawatan kemurungan, Hussein berkata perkara itu masih dalam siasatan sama ada mangsa pernah menerima rawatan di Malaysia atau Jepun.
Tambahnya lagi, pihaknya juga akan meminta bantuan pakar daripada Jabatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengenal pasti bahan dan kegunaan ubat-ubatan yang dirampas.
“Sekiranya kita perlukan bantuan pihak di Jepun untuk kita dapatkan maklumat lanjut berhubung ubat-ubatan ini, maka kita akan minta bantuan pihak kedutaan Jepun,” katanya.
Setakat ini pihak polis sudah merakam keterangan enam individu selain suami mangsa serta anaknya, kakitangan hospital yang menjalankan bedah siasat serta saksi awam yang ada di tempat kejadian.
SUMBER: Harian Metro