fbpx

Polis Panggil 50 Juri Selebriti All Together Now Malaysia

Minggu lalu hangat diperkatakan mengenai program hiburan All Together Now Malaysia yang menghimpunkan seramai 50 selebriti sebagai juri sekaligus mengundang rasa tidak puas hati dikalangan netizen.

Terbaru, polis akan memanggil kru penerbitan termasuk 50 juri selebriti yang terlibat dalam rakaman program tersebut untuk siasatan.

BACA: All Together Now Malaysia Dihentikan Sementara Waktu

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa program terbabit melanggar SOP PKP.

“Siasatan awal mendapati penggambaran program itu dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 Mac hingga 11 April lalu dengan merujuk SOP Sektor Industri Kreatif-Acara Langsung (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan – PKPP) yang sedang berkuat kuasa ketika itu.

“Pihak penerbit program dikehendaki mematuhi SOP PKPP yang membenarkan rakaman berlangsung dengan kehadiran penonton tidak melebihi 50 peratus kapasiti serta mematuhi SOP berkaitan saringan kesihatan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya menjalankan siasatan berkaitan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Difahamkan kesemua juri program berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dalam masa terdekat dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai.