fbpx

Pintu Rahim Dah Terbuka 2 Cm, Bella Astillah Tetap Buat Majlis Hari Jadi

Meskipun sedang sarat hamil dan mengalami tanda-tanda bersalin, Bella Astillah tetap meneruskan sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Ayden Adrean yang ke-3 baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, adik kepada Bella iaitu Didi Astillah memberitahu sebelum majlis berlangsung kakaknya membuat pemeriksaan dan doktor memberitahu pintu rahim sudah terbuka 2 sentimeter.

BACA: Joy Revfa Kagum Dengan Sifat Penyabar Bella Astillah

“Malam sebelum majlis sambutan hari lahir Ayden, saya ada teman Bella pergi buat pemeriksaan doktor sebab dia dah rasa perut keras dan tanda-tanda nak bersalin.

“Doktor beritahu yang bukaan sudah 2 cm tapi belum tiba masa untuk bersalin, jadi kami pun pulang ke rumah. Walaupun dalam keadaan macam tu, Bella tetap nak buat birthday Ayden.

“Memang risau juga tapi dia tetap nampak kuat dan Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar,” katanya kepada mStar Online.

Didi memberitahu Bella kini berada di hospital namun tidak dapat pasti bila kakaknya itu akan bersalin. Dalam pada itu, Didi berkata walaupun Aliff berada di Singapura namun mereka sentiasa berhubung.

“Saya tak pasti bila dia akan melahirkan anak. Masa Ayden lahir senang sahaja tapi kali ini macam tak ada banyak tanda-tanda sangat.

“Bellah pun sentiasa bergerak ke sana ke sini. Walaupun Aliff jauh di Singapura tapi mereka sentiasa berhubung. Saya nampak macam setiap masa mereka on the phone,” katanya.