Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20 juta menerusi inisiatif Pembiayaan Dana Pantas Usahawan yang menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun bagi membantu usahawan memulakan atau mengembangkan perniagaan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif baharu itu dijangka memberi manfaat kepada 2,000 usahawan yang berdaftar menerusi aplikasi digital DANA PLUS yang dikendalikan Yayasan Hijrah Selangor.
“Sebahagian besar daripada ekonomi Selangor terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, dan kebanyakan syarikat ini bermula di peringkat usahawan kecil.
“Dengan kombinasi usaha Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) dan Platform Selangor (PLATS), Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan pembiayaan ini agar lebih ramai warga Selangor boleh menceburi bidang keusahawanan,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, pada Jumaat.
Amirudin berkata bantuan itu adalah antara langkah di bawah pakej pengukuhan yang diumumkan kerajaan negeri bagi membantu sektor perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan berdepan cabaran ekonomi semasa.
Dalam perkembangan sama, kira-kira 6,000 usahawan yang mempunyai pinjaman sedia ada dengan Yayasan Hijrah Selangor turut diberi pilihan untuk menstruktur semula pembiayaan mereka tanpa dikenakan faedah tambahan atau caj penalti.
“Bagi usahawan yang sedang menghadapi kesan bekalan global dan mungkin mengalami penurunan prestasi perniagaan, Kerajaan Negeri turut mewujudkan pilihan untuk para usahawan menstrukturkan semula pinjaman melalui Yayasan Hijrah,” katanya.
Pada 16 April lalu, kerajaan negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa pertama bernilai RM131 juta bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Pakej yang mula dilaksanakan bulan ini memberi tumpuan kepada keterjaminan bekalan makanan, sokongan kepada sektor pertanian dan agromakanan, kawalan kos sara hidup, bantuan pengangkutan awam serta inisiatif pemakanan dan kebajikan pelajar.
Menurut Amirudin, bantuan bersasar kepada golongan rentan itu dibiayai menerusi peruntukan Belanjawan Selangor 2026 yang disusun semula mengikut keperluan semasa.