fbpx

“Pihak Perubatan Sendiri Yang Pasang Bukan Produksi” – Pengarah

Baru-baru ini tular di media sosial gambar babak yang dilakonkan oleh Redza Rosli terlantar dalam keadaan kritikal di hospital menjadi bahan ketawa netizen.

Difahamkan, babak dalam drama Bisik-Bisik Gelora itu tular berikutan cara tiub bantuan pernafasan yang digunakannya dianggap pelik oleh penonton serta mendapat teguran daripada seorang doktor.

BACA: Redza Rosli Doakan Ayda Jebat Bahagia Bersama Suami

Memetik Kosmo!, pengarah drama tersebut, Riza Baharudin menjelaskan pihak produksi telah pun mendapatkan rujukan daripada mereka yang arif tentang cara pemasangan tiub bantuan pernafasan itu sebelum babak kritikal dilakonkan oleh Redza Rosli dibuat.

“Kalau boleh saya tidak mahu kaitkan sesiapa. Tapi saya perlu jelaskan bahawa tiub bantuan pernafasan itu telah dipasang oleh individu yang arif tentang perubatan dan bukannya pihak kru produksi.

“Bila pihak perubatan sendiri yang memasangnya, saya tidaklah boleh memandai-mandai kata salah. Jadi saya anggap sahaja cara pemakaian tiub bantuan pernafasan itu betul,” katanya.

Kata Riza lagi, sewaktu babak itu dijalankan di sebuah hospital, dia telah bertanyakan beberapa kali kepada pihak perubatan untuk mendapatkan kepastian.

“Banyak kali saya tanya itu dan ini kerana mahu segala-galanya nampak sempurna. Malah sebelum drama Bisik-Bisik Gelora ditayangkan, pihak penyiar TV3 juga ada bertanyakan tentang perkara itu.

“Saya dengan yakin memaklumkan bahawa cara pemakaian tiub bantuan pernafasan itu telah dipasang dengan betul oleh pihak perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, Riza berkata selaku pengarah dia memikul tanggungjawab serta memohon maaf kepada pihak yang terguris hati dengan babak tersebut serta akan lebih berhati-hati di masa akan datang.

“Dengan rasa rendah diri, sebagai pengarah saya sedia memikul tanggungjawab dengan memohon maaf kepada mereka yang terasa. Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan akan mendapatkan pandangan lebih daripada seorang pakar jika mahu melakukan babak serupa dikemudian hari,” katanya.