fbpx

“Pernah Jumpa Pakar IVF Untuk Dapat Anak Tapi …”

Penyanyi dan juga isteri kepada maestro muzik tersohor, Datuk Ramli M.S, Datin Alyah mendedahkan telah menemui pakar perubatan untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekitar awal tahun ini.

Namun beliau membatalkan hasrat untuk meneruskan rawatan berikutan jadual seni yang padat walaupun sudah lima tahun mendirikan rumahtangga bersama suaminya.

BACA: Akyah Dedah Masalah Rumah Tangga, Buka Aib Suami?

Alyah berkata beliau tidak dapat menafikan perasaan ingin bergelar ibu semakin menebal, biarpun suami tidak pernah memberikan sebarang tekanan.

“Saya ada pergi menemui pakar perubatan sekitar awal tahun ini untuk menjalani rawatan IVF. Oleh kerana jadual seni yang padat berserta kontrak yang telah ditandatangan, saya tunda dahulu hasrat itu”

“Datuk (Ramli) sudah mempunyai dua anak dan dia tidak pernah memberikan tekanan kepada saya. Cuma sebagai isteri dan wanita, saya ingin mempunyai cahaya mata,” katanya.

Beliau juga meluahkan hasrat untuk memperlahankan kerjaya seninya pada tahun depan untuk memberi fokus terhadap usaha mendapatkan zuriat termasuk menjalani rawatan IVF.

“Dalam rawatan terdahulu, doktor telah memaklumkan untuk memastikan rawatan IVF saya berjaya, saya tidak boleh terlalu aktif dalam tempoh kira-kira setahun. Saya perlu melakukan persediaan rapi sebelum melalui siri rawatan tersebut,” jelasnya.

Alyah dan Ramli telah lima tahun bergelar suami isteri setelah mendirikan rumah tangga sekitar Mac tahun 2013. (rtky/m)