fbpx

Pernah Dua Kali Keguguran, Ayu Raudhah Gembira Dikelilingi Anak Ramai

Mengakui rindu untuk kembali muncul di kaca televisyen, bagaimanapun pelakon Ayu Raudhah berkata anak-anak dan suaminya adalah pelengkap hidup yang membahagiakan hidupnya.

Kata ibu kepada lima cahaya mata itu lagi, dia kini meletakkan keutamaan kepada keluarga apatah lagi anak-anaknya kini sedang membesar.

BACA: Ayu Raudhah Pernah Terpeluk Kembar Suami, Keliru Wajah Sama

“Jujurnya tak rancang nak ada anak berapa. Cuma sebelum ini hasrat mahu tujuh cahaya mata. Cuma sebelum ini tak ada rezeki, saya alami keguguran dua kali. Kalau ikutkan suami, nombor kegemarannya ialah lapan,” katanya.

Ditanya mengenai persepsi sesetengah puhak terhadap pasangan yang mempunyai anak ramai, Ayu berkata dia terbuka mengenai rezeki zuriat.

“Ia bergantung pada pandangan masing-masing, kita cuba letak diri kita di mana. Macam saya, saya gembira dengan kehidupan dikelilingi anak yang ramai.

“Malah baik saya dan suami, kami pun dibesarkan di dalam keluarga yang besar. Bagi saya okay dan kami pun sudah biasa dengan situasi itu,” katanya.

Sementara itu, Zaquan Adha berkata dia mempunyai adik-beradik yang ramai dan sememangnya mahu mempunyai ramai anak.

“Saya ada adik beradik tujuh orang, ada abang ada kakak. Kalau boleh bagi saya, biarlah anak-anak kami rapat di antara satu sama lain, macam keluarga saya yang rapat dengan family isteri.

“Bila anak-anak sudah besar, balik kampung saya nak meriah. Jadi memang prefer ada anak ramai,” katanya.

Ayu dan Zaquan mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 dan dikurniakan lima orang cahaya mata, Muhammad Aisy Qaiser, 9, Muhammad Aisy Aryann, 8, Laura Zuleykha, 5, Muhammad Aisy Khaliq, 3 dan Muhammad Aisy Al Jibreel, 1.