fbpx

Pernah Dikecam Netizen, Azrel Ismail Sampai Tak Boleh Tidur Malam

Jarang sekali kita mendengar kontroversi panas mengenai pelakon Azrel Ismail. Azrel mendedahkan ada pihak memberi cadangan kepadanya untuk mencipta kontroversi untuk lebih dikenali.

Memetik Kosmo, Azrel bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana dia lebih percayakan bakat serta akan memastikan namanya bersih.

BACA: Azrel Ismail Serik Bercinta Dengan Artis?

“Ada yang nasihatkan, buatlah kontroversi kalau mahu nama naik cepat dan dikenali. Tetapi, semua orang ada cara tersendiri untuk cipta nama dalam industri dan saya memilih dikenali tanpa bersandar kepada publisiti.

“Saya akan pastikan nama bersih supaya fokus terhadap kerjaya lebih menyerlah. Mungkin sekarang nama saya tidak terlalu meletup, tetapi saya bersyukur kerana tawaran sentiasa ada.

“Saya harap kepercayaan itu kekal sampai bila-bila. Asalkan masih relevan dalam industri, saya sudah cukup gembira,” katanya.

Pernah diserang netizen selepas memuat naik status mengundang kecaman, Azrel berkata ketika itu dia tidak tahu mengawal keadaan sehingga mengalami gangguan tidur.

“Saya pernah termuat naik status yang mengundang kecaman netizen. Ketika itu, teruk saya diserang. Memang takut sampai membuatkan saya terfikir-fikir sehingga tidak boleh tidur.

“Baru saya tahu itu rasanya apabila diserang netizen. Serangan mereka sangat kuat dan saya pula masih baru serta tidak tahu bagaimana untuk kawal keadaan.

“Sampai satu tahap, saya terpaksa tutup ruangan komen kerana tidak mahu fikiran dibebani dengan komen negatif,” katanya.