Takziah buat keluarga Saleem Iklim atau nama sebenarnya, A.M. Salim Abdul Majeed di atas pemergian penyanyi itu. Menurut Kosmo! Online, Saleem meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), jam 6.15 pagi tadi.
BACA: Isteri Maklum Saleem Alami Kemalangan
Kenyataan mengenai pemergian penyanyi yang popular melalui lagi Suci Dalam Debu ini disahkan sendiri oleh anak tirinya, Iera Fakhira, 29 tahun.
Saleem sebelum ini telah terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan patah 12 tulang rusuk dan satu tulang tertusuk paru-paru. Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kajang.
Sementara itu menerusi laporan BH Online, anak bongsu penyanyi berkenaan, Muhammad Amirul Mukmin menjelaskan bahawa arwah bapanya berada dalam keadaan kritikal sejak semalam.
“Akibat hentakan kuat ketika kemalangan, otaknya bengkak, sekali gus menyukarkan penafasannya. Selepas koma hampir dua minggu, arwah mula sedar, tetapi keadaannya semakin lemah.
“Walaupun kelihatan ceria, kami nampak banyak perubahan pada arwah terutama apabila bibirnya berubah pucat. Doktor mengambil keputusan menidurkannya kerana arwah mengadu mengalami sakit kepala yang amat sangat apabila sedar,” katanya.
Tambah Amirul, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas melihat keadaannya yang semakin kritikal.
Takziah sekali lagi buat keluarga Allahyarham dan sama-samalah kita doakan kesejahteraan beliau di sana. (rtky/s)