fbpx

Penyakit Kulit Merebak Ke Muka, Ustaz Kazim Takut Orang Geli & Jijik

Baru-baru ini tular gambar pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias memaparkan wajahnya ditutup dengan topi dan hanya nampak bahagian mata saja ketika hadir memberi penceramah dalam satu majlis ilmu.

Memetik Harian Metro, Ustaz Kazim mendedahkan penyakit kulit yang dihadapinya akibat penyakit misteri itu kini merebak ke bahagian muka.

BACA: Kematian Adibah Noor Buat Ustaz Kazim Rasa Malu

“Saya malu nak jumpa orang. Saya takut orang geli dan jijik. Apabila pakai macam itu, tak adalah malu sangat,” katanya.

Menurut Ustaz Kazim lagi, bukan saja wajahnya menjadi gelap tetapi ada luka dan akan berdarah secara tiba-tiba. Katanya lagi, penyakit kulit yang sebelum ini menyerang di bahagian kaki dan badannya sudah beransur pulih sejak tiga bulan lalu.

“Saya menyedari perubahan itu dalam tiga ke empat minggu yang lalu apabila muka jadi semakin gelap seolah-olah terbakar. Melihat keadaan yang tidak terkawal itu membuatkan saya nekad bertemu pakar kulit untuk mendapatkan kepastian.

“Hasil pertemuan itu, doktor mendapati saya ada penyakit kulit yang kronik jadi menasihatkan untuk memakai krim pelindung tabir suria dan mengelak daripada terdedah dengan matahari,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz kazim berkata dia sudah berhabis ribuan ringgit sejak menjalani rawatan bagi mengubati penyakit misterinya itu dan kini bergantung dengan ubat dan krim dibekalkan oleh hospital sebagai ikhtiar.

“Bukan tidak usaha malah berapa pun dicaj, saya sanggup bayar janji muka elok dan terbaru, saya belanjakan RM5,000 untuk rawatan pigmentasi.

“Kos rawatan itu agak mahal kerana gunakan krim yang terbaik dan dalam dua tiga hari lagi, saya akan ke sebuah negara di Timur Tengah pula bagi menjalani rawatan dengan pakar ke-15.

“Kekuatan saya adalah kerana ada tanggungjawab menguruskan sekolah pondok (pusat pendidikan) kerana kalau terbaring, macam mana nak tanggung mak cik dan pak cik di situ yang sakit,” katanya.