Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita kemangkatan Anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu arwah Pengiran Muda Haji Abdul Azim yang telah pergi mengadap ilahi pada usia 38 tahun, 24 Oktober lalu.
Akhirnya, Pengiran Muda Abdul Mateen mendedahkan punca sebenar kemangkatan kekandanya menerusi perkongsian di Instagram semalam. Menurutnya, abangnya disahkan menghidap vaskulitis sistemik atau penyakit autoimun yang kronik awal tahun ini.
BACA: Sambut Hari Lahir Ke-29, Putera Mateen Nak Cari Calon Isteri
“Awal tahun ini, abang saya disahkan mengidap systemic vasculitis yang merupakan penyakit autoimun. Penyakit autoimun adalah keadaan sistem imun yang tidak normal di mana antibodi menyerang tisu badannya sendiri.
“Pada masa yang sama, dia juga menghadapi gangguan bipolar yang membuatkan semangat juangnya semakin sukar.
“Akhirnya, abang saya mengalami banyak kegagalan organ yang disebabkan oleh jangkitan berterusan, berpunca daripada sistem autoimun yang membawa kepada kemangkatannya pada pagi 24 Oktober,” tulisnya.
Menurut Pengiran Mateen, dia berkongsikan perkara itu kepada umum kerana yakin bahawa itulah yang dikehendaki oleh kekandanya.
“Kami ingin berkongsi maklumat mengenai penyakit ini kerana saya tahu inilah yang mahu dilakukan oleh kekanda saya.
“Meskipun saya dan seluruh keluarga bersedih dan amat menyayanginya, kami tahu Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali,” katanya.
Pengiran Mateen turut meluahkan rasa rindu apabila terkenang kembali memori kanak-kanaknya dan membesar bersama abang tercinta. Pengiran Mateen berkata kekandanya itu merupakan insan terpenting dalam hidupnya.
“Hari-hari dilalui tidak pernah membosankan ketika abang Azim selalu ada. Dia suka membuat prank, bergurau dan tidak serius sangat dengan kehidupan.
“Saya meluangkan setiap masa sepanjang zaman kanak-kanak saya bersama dengan abang saya. Dia banyak mengajar saya dan menjadikan siapa diri saya pada hari ini. Dan untuk itu saya sentiasa bersyukur,” katanya.
Pada 24 Oktober lalu, Pengiran Muda Haji Abdul Azim itu mangkat pada jam 10.08 pagi dan dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas waktu Asar.
Pengiran Muda Haji Abdul Azim dilahirkan di Bandar Seri Begawan pada 29 Julai 1982 amat dikenali sebagai seorang yang amat prihatin terhadap isu kemanusiaan.