fbpx

“Pengalaman Lalu Ajar Jadi Lebih Tenang, Tak Cepat Melatah”

Baru tiga bulan memasuki tahun 2019, nampaknya perjalanan seni Sufian Suhaimi boleh dikatakan agak baik. Bukan saja menang Persembahan Terbaik di AJL33, malah lagu sedihnya yang sinonim dengan rakyat Malaysia itu berjaya memecahkan rekod lagu artis Malaysia yang meraih tontonan tertinggi di YouTube.

Meskipun terpalit dengan kontroversi panas tahun lalu, namun Sufian menganggap ianya adalah proses pembelajaran. Ujarnya lagi, pengalaman lalu mengajarnya menjadi individu lebih tenang dan tidak cepat melatah.

BACA: Lagu Sufian Suhaimi Mula Viral Di Indonesia

“Semenjak saya keluarkan single berjudul Terakhir, pelbagai isu dan gosip yang terpalit terhadap nama Sufian Suhaimi. Saya rasa itu adalah proses pembelajaran yang saya lalui.

“Pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih tenang, tidak cepat melatah dan juga tahu bagaimana untuk mengawal isu atau kontroversi. Pengalaman silam juga banyak membantu untuk menjadi siapa saya pada hari ini,” katanya kepada Astro Gempak.

Sangat tenang setiap kali terpalit dengan sesuatu krisis atau kontroversi, Sufian memberitahu ia disebabkan hasil pembelajaran ketika dia menjadi seorang pelajar.

“Secara praktikal mungkin saya pernah belajar cara menguruskan krisis ketika di dalam kelas sepanjang pengajian saya sebagai seorang pelajar.

“Apabila kita memasuki industri seni, secara tidak langsung kita dapat menggunakan ilmu yang diperoleh ke dunia sebenar,” katanya lagi.