fbpx

Pendapatan Terjejas, Zamani Terpaksa Hentikan Rawatan

Mengalami masalah atau tulang belakang melengkung, penyanyi popular Zamani berkata dia terpaksa menghentikan rawatan buat sementara waktu berikutan kos rawatan yang tinggi.

Pendapatannya turut terjejas berikutan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zamani berkata untuk beberapa rawatan mengurut dia perlu mengeluar kos sebanyak RM300 sehingga RM400.

BACA: Zamani Syukur Kahwin Sebelum Tempoh PKP, Ada Isteri Menemani

“Buat masa ini saya berhenti dulu. Namun, kalau rasa sakit sangat saya buat urutan sendiri seperti yang diajarkan.

“Hidup memang ada fasa-fasanya dan kita kena lalui apa yang berlaku sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Kehidupannya agak terkesan sama seperti orang lain dan hanya berbelanja untuk perkara perlu sahaja, Zamani tidak malu mengaku membuat permohonan bantuan untuk golongan B40.

“Apa nak dimalukan kerana artis juga perlukan pendapatan. Pada saya tiada salahnya perkara ini. Tidak ada apa yang hendak dimalukan kerana semua orang terkesan sekarang. Semata-mata nak elak malu, tapi hidup susah pun tak guna juga.

“Apapun, terpulang kepada cara masing-masing dan saya tak malu untuk mengakui perkara ini. Lagipun saya dah pernah rasa susah dulu,” katanya.

Tidak hanya berpeluk tubuh, Zamani merancang untuk memohon menyertai Program Hiburan Dari Rumah (HDR) dengan bayaran sebanyak RM5,000 menerusi Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).

“Dah ada peluang pasti saya tak nak ketinggalan untuk ambil. Kita pun tak boleh buat apa-apa dan ini peluang untuk cari pendapatan. Rasanya benda ini bagus untuk golongan penyanyi dan pemuzik,” katanya.