fbpx

Pendapatan Terjejas, Siti Nordiana Tambah Duit Buat IG Review

Tidak dinafikan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) bermula semalam hingga 14 Jun ini memberi kesan terhadap penyanyi dan pemuzik apabila persembahan tidak dapat diteruskan.

Mengakui tawaran nyanyian tidak lagi seperti sebelum ini, penyanyi Siti Nordiana berkata dia perlu mencari jalan untuk menambah pendapatan demi meneruskan kehidupan.

BACA: Netizen Pertikai Siti Nordiana Menang Empat Anugerah Di AME2020

“Penyanyi antara yang terjejas kerana tawaran nyanyian sangat terhad dan sudah tidak seperti dulu. Saya memang dah lama tak buat persembahan.

“Namun, saya bersyukur wang simpanan yang saya kumpul sebelum ini dapat digunakan untuk menampung kehidupan. Saya juga hadkan perbelanjaan dengan membeli apa yang penting saja.

“Selain itu, saya juga dapat tawaran membuat ulasan produk serta menjalankan beberapa kempen di Instagram. Jadi sedikit sebanyak dapat menambah pendapatan selain saya mengambil inisiatif menjual album zikir di platform dalam talian,” katanya.

Sudah lama tidak bersua muka dengan peminatnya, namun Siti Nordiana menggunakan platfrom media sosial sebagai medium untuk memastikan dirinya terus diingati.

“Kalau ada waktu terluang saya selalu aktif di platform Smule dan We Sing. Saya akan menghiburkan peminat supaya mereka tahu yang saya masih aktif menyanyi.

“Saya juga selalu berinteraksi dengan peminat menerusi Instagram Live dan membuat persembahan dari rumah.

“Dalam keadaan sekarang ini saya perlu kreatif dan menggunakan media sosial sebaik mungkin. Saya gunakan platform YouTube yang saya ada dengan berkongsi segala aktiviti dan ‘cover’ lagu yang saya minat kerana dari YouTube pun saya boleh tambah pendapatan,” katanya.