Sama seperti penggiat seni lain, Haqiem Rusli berkata dia kini banyak bergantung dengan wang simpanan memandangkan tawaran nyanyian berkurang dan restoran miliknya terpaksa ditutup sementara.
Bagaimanapun, Haqiem meluahkan rasa syukur menerima beberapa tawaran untuk membuat review di Instagram untuk menambah pendapatan.
BACA: Baru Umum Kahwin, Ramai Mahu Taja Haqiem Rusli
“Tipulah kalau tidak terkesan sepanjang pandemik ini. Tawaran nyanyian sudah tidak serancak sebelum ini, malah restoran juga saya terpaksa tutup sementara waktu.
“Sekarang ini saya cuma mengharapkan wang simpanan yang ada. Selain itu, saya juga ada beberapa komitmen untuk ulasan dan kempen produk di media sosial.
“Jadi sedikit sebanyak dapatlah menampung kehidupan sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh hingga 14 Jun ini,” katanya.
Kata Haqiem lagi, meskipun terpaksa menanggung kerugian namun dia mengambil keputusan menutup sementara restoran miliknya SanThai Village demi keselamatan pekerja serta ahli keluarganya.
“Walaupun terpaksa menanggung kerugian apabila kedai tidak beroperasi, tapi demi keselamatan dan nyawa pekerja serta ahli keluarga saya percaya ini adalah langkah terbaik.
“Lagipun saya tidak mahu ahli keluarga saya keluar rumah untuk bekerja. Kami sekeluarga memang duduk rumah saja sekarang kerana keadaan Covid-19 amat membimbangkan.
“Apabila sudah reda nanti, barulah kami kembali beroperasi. Soal nasib pekerja, kami akan cuba cari jalan untuk membantu mereka dalam waktu sukar ini,” katanya.