Susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan, pelakon Ezzaty Abdullah tidak hanya berpeluk tubuh sahaja apabila dia meneruskan semula perniagaan mi udang yang diusahakan sebelum ini.

Menurut Ezzaty, daripada hanya duduk di rumah dia mengambil inisiatif untuk menjana pendapatan sampingan memandangkan aktiviti penggambaran terpaksa ditangguhkan.

BACA: Ezzaty Abdullah Jual Mi Udang Untuk Bayar Gaji Pekerja

“Saya baru mula meniaga pada Jumaat selepas ramai buat permintaan. Lagi pun bosan duduk rumah tak buat apa-apa.. jadi lebih baik kalau saya buat sesuatu boleh tampung pendapatan sepanjang PKP ini.

“Sebelum ini saya berniaga pes mi udang, ramai pula yang tertanya-tanya kenapa tak jual yang dah siap… itu yang datang balik idea nak fokus semula jual mi udang tu, cumanya sehari dua ni tempahan tak ambil banyak kerana pergerakan terhad nak ke rumah pelanggan.

“Dalam keadaan sekarang, daripada tak buat apa-apa, lebih baik kita cari jalan jana pendapatan lain… sebab kita pun tak tahu sampai bila PKP ini. Pengalaman lepas mengajar kita untuk lebih bersedia,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ezzaty mengakui pendapatannya akan terjejas jika PKP berlanjutan lebih lama, apatah lagi perlu menanggung kos operasi spa miliknya yang terpaksa ditutup sementara.

“Dalam keadaan sekarang ini, kita cuba ikhtiar jalan terbaik dan besar harapan agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua boleh bekerja seperti biasa, katanya.