fbpx

Ezzaty Abdullah Jual Mi Udang Untuk Bayar Gaji Pekerja

Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai selebriti mencari pendapatan dengan berniaga. Pada awalnya hanya sekadar menjual secara suka-suka, pelakon Ezzaty Abdullah tidak menyangka mi udangnya mendapat sambutan ramai dan kini mula menjadi serius.

Ezzaty berkata, dia tidak menang tangan di dapur sehingga terpaksa memadam status membuka tempahan yang dimuat naik di laman sosial ekoran menerima permintaan yang terlalu tinggi.

BACA: Ezzaty Abdullah Teringin Cahaya Mata

Ujarnya, dia ada bertanyakan di Instagram jika ada yang ingin membeli mi udangnya dan hanya sekadar bergurau, namun tidak menyangka akan ada yang mahu membuat tempahan.

Malah, dia turut terkejut apabila statusnya yang dimuat naik tak sampai 10 minit menerima 60 mesej tempahan. Ujarnya, dia hanya mengambil sedikit tempahan terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan.

“Tak sampai 10 minit saya sudah terima kira-kira 60 mesej tempahan. Saya terkejut dan jadi takut, saya terus padam posting itu. Daripada 60 orang, saya Cuma ambil 35 pesanan kerana saya takut tak mampu memenuhi semua permintaan,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Azwan Kombos itu berkata dia mengambil keputusan untuk menjual mi udang kerana bagi menampung pembayaran gaji pekerja spa milik mereka. Ujarnya, dia tidak mahu menggunakan wang simpanan kerana mahu digunakan untuk membeli rumah.

“Kami orang seni tiada pendapatan. Saya ada bisnes spa tapi masih belum boleh beroperasi selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan.

“Saya dan Azwan dah pening memikirkan cara untuk membayar gaji staf kami. Kami tidak mahu menggunakan duit simpanan kerana duit itu mahu digunakan untuk membeli rumah. Ini salah satu cara saya dan suami cari duit,” katanya.