fbpx

Pendakwah Muda Ditahan Sekali Lagi, Didakwa Cabul Pelajar Kolej

Pendakwah selebriti yang ditahan polis minggu lalu atas dakwaan merogol seorang gadis di Shah Alam, ditahan sekali lagi oleh sepasukan polis atas dakwaan mencabul pula.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 22 tahun semalam, mendakwa dicabul lelaki berusia 25 tahun yang juga pendakwah selebriti.

BACA: “Saya Takut Nak Report Selepas Diugut Pendakwah Tersebut” – Mangsa

Katanya, dalam kejadian kira-kira 1 pagi pada 17 Oktober lalu, mangsa yang merupakan penuntut sebuah kolej swasta itu dipelawa suspek ke rumahnya di Damansara Perdana, untuk mengajar mengenai pemasaran perniagaan.

“Semasa di rumah suspek, mangsa dicabul selain turut dipaksa melakukan seks oral. Berikutan kejadian itu mangsa mengalami trauma dan kini mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Izanne berkata ihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Difahamkan, suspek masih ditahan reman bersabit laporan kes rogol yang diterima Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan akan berakhir esok.

Terdahulu, pendakwah selebriti berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis, tahun lalu. Suspek ditahan kira-kira pada 26 November lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.