fbpx

“Saya Takut Nak Report Selepas Diugut Pendakwah Tersebut” – Mangsa

Sejak beberapa hari lalu hangat diperkatakan mengenai perkongsian seorang netizen mendakwa rakan baiknya yang menjadi mangsa seorang pendakwah selebriti. Malah,  rakan baiknya dikatakan mengalami trauma akibat perbuatan pendakwah terbabit.

Memetik Harian Metro, wanita berusia 23 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol pendakwah itu membuat pendedahan dia takut untuk membuat laporan polis sebelum ini kerana telah diugut oleh pendakwah berkenaan.

“Pendakwah terbabit pernah ugut nak saman jika saya buka mulut atau membuat laporan polis. Ibu bapa juga tidak benarkan saya membuat laporan polis kerana malu jika perkara ini menjadi kecoh dan diketahui ramai.

“Namun, selepas mendapat sokongan dan bantuan daripada beberapa pihak, saya beranikan diri untuk membuat laporan polis, Rabu lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selepas sekian lama melalui pelbagai derita, wanita itu berharap dengan laporan polis yang dibuat dapat menegakkan keadilan.

“Saya berharap selepas ini keadilan dapat ditegakkan sekali gus membayar semula derita yang pernah saya alami sebelum ini. Sedikit sebanyak dapat melegakan hati selepas memendamnya sekian lama,” katanya.

Terdahulu, seorang pendakwah selebriti ditahan polis malam tadi bagi membantu siasatan kes dakwaan merogol seorang gadis di Shah Alam, Selangor, tahun lalu.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 malam selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam. Suspek akan ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.