fbpx

Penantian 15 Tahun, Remy Ishak Menggeletar Julang Trofi FFM31

Pelakon Remy Ishak menyifatkan penantiannya selama 15 tahun berbaloi apabila dinobat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) malam tadi.

Remy berkata sebelum ini dia pernah tiga kali tercalon dalam anugerah berprestij itu namun rezeki tidak berpihak kepadanya,.

BACA: Remy Ishak Akui Lebih Free, Relaks & Terbuka Lepas Kahwin

“Syukur Alhamdulillah. Memang rezeki saya tahun ini. Jujuarnya bukan senang untuk terima penghargaan ini.

“Tahun ini merupakan pencalonan keempat saya dan akhirnya saya berjaya bawa pulang juga trofi berprestij ini. Tetapi saya tidak nafikan calon lain juga tidak kurang hebatnya,” katanya.

Memenangi anugerah tersebut menerusi filem Sangkar, Remy berkata ia menjadi satu kenangan istimewa buat dirinya dan dia sememangnya menantikannya.

“Memang saya tak jangka langsung dan sampai sekarang ini pun masih menggeletar. Anugerah ini bagi saya sangat istimewa. Memang saya menantikannya,” katanya.

Terdahulu, Remy pernah tercalon dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada FFM 23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Seterusnya, Remy turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 24 menerusi filem Nur Kasih The Movie. Kali terakhir Remy tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 30 menerusi filem Pulang.