fbpx

PEMERKASA, 4 Fokus Utama Dikenal Pasti Untuk Rakyat & Ekonomi Negara

Kerajaan hari ini mengumumkan Program Strategik Memperkerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan lima fokus utama melibatkan 20 inisiatif bagi pemulihan serta pemerkasaan negara sepanjang tahun ini.

Lima fokus utama itu adalah mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

Kata Muhyiddin Yassin, kini dah genap pun setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19.

Jadi untuk sepanjang tempoh ini, kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi.

Empat Fokus Utama

Fokus Pertama: Mengawal Penularan COVID-19

1. Program Imunisasi COVID-19

Bagi fokus pertama Pemerkasa iaitu mengawal penularan Covid-19, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan untuk membendung pandemik itu. Dalam masa yang sama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah pun bermula.

Dan untuk info anda, lebih 300,000 rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin.

Menurut Muhyiddin, bagi fokus pertama, kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021.

Katanya, untuk mencapai sasaran itu, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara.

Jelasnya lagi, kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.

2. Tiada lagi Pelaksanaan PKP Menyeluruh

Selain itu, dalam fokus yang sama juga, perlaksanaan PKP secara menyeluruh tiada lagi. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi kawalan penularan COVID-19 secara lebih bersasar untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

Pada masa yang sama, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Kerajaan mungkin tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Tapi, kawalan pergerakan akan dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja.

3. Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus

Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Untuk melindungi golongan pekerja, MITI akan melaksanakan inisiatif Safe@Work. Program ini memerlukan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja.

Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program Safe@Work juga akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19.

Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja.

Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan Safe@Work. Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021.

Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.

Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi

Dalam masa yang sama, kerajaan juga mahu memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan melalui pelaksanaan segera projek pembangunan, penyediaan insentif penggajian serta pemberian insentif percukaian dan kemudahan pembiayaan mikro kredit.

1. Pelaksanaan Projek-Projek Kecil Seluruh Negara

Bagi merancakkan aktiviti projek-projek berskala kecil, Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan projek berskala kecil tahun 2021 daripada 2.5 bilion ringgit kepada 5 bilion ringgit.

Antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir, pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan PBT.

2. Geran Khas Prihatin 3.0

Kerajaan akan sentiasa memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS tempatan.

Jadi, Geran Khas Prihatin atau GKP 3.0 diteruskan supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula. Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000.

Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini.

3. Kemudahan Mikro Kredit

Semasa pengumuman Belanjawan 2021 yang lalu, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sejumlah 1 bilion ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit. Bukan itu jer, Kerajaan turut bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah BSN, TEKUN, MARA dan SME Corp.

4. Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian

Sejak pelancaran program PenjanaKerjaya 2.0 di bawah PERKESO, hampir 200 ribu pekerja dalam sektor formal berjaya ditempatkan. Bagi membantu golongan yang kehilangan pendapatan atau pekerjaan, Kerajaan akan terus menambah baik program ini dengan memperluaskan skop insentif pengambilan pekerja untuk meliputi pekerjaan sementara dan pekerjaan gig, iaitu:

Menyediakan peruntukan 300 juta ringgit yang akan memanfaatkan 60 ribu pekerja, di mana setiap pekerja akan menerima 600 ringgit sebulan selama tempoh maksimum 6 bulan; dan

Bagi majikan yang menawarkan pekerjaan jangka pendek ataupun platform penyedia perkhidmatan gig yang berdaftar dengan PERKESO, mereka akan menerima 200 ringgit bagi setiap pekerja yang ditempatkan.

Di samping itu, sehingga 5 Mac 2021, Kerajaan telah menyalurkan lebih daripada 14.4 bilion ringgit bagi membiayai program subsidi upah yang telah membantu 2.7 juta orang pekerja dan lebih daripada 330 ribu majikan.

Kerajaan akan memperuntukkan 700 juta ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi secara lebih bersasar untuk sektor lain yang terkesan terutamanya kepada sektor pelancongan, perdagangan borong dan runcit, serta perniagaan lain yang ditutup semasa PKP seperti pusat sukan gimnasium dan spa.

Program perantisan di bawah PenjanaKerjaya juga akan ditambah baik dari 3 bulan kepada 6 bulan setelah mengambil kira maklumbalas daripada pihak industri yang mendapati tempoh 3 bulan program perantisan ini agak singkat dan tidak mencukupi. Pelatih yang mengikuti program ini akan diberi insentif sebanyak RM800. b

Bagi menangani masalah pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara, atau NEC. Bagi tahun ini, NEC menyasarkan pewujudan 500 ribu peluang pekerjaan, di mana sehingga akhir Februari, 66 ribu peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

5. Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan

Kerajaan akan melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021;

Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022;

Membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 diberikan kepadasyarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa;

Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan;

Memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga 1,000 ringgit untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC; dan

Memberi pengecualian levi HRDF bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Geran Bantuan Khas secara one-off sebanyak 3,000 ringgit kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan bantuan tunai secara one-off sebanyak 600 ringgit kepada pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC. Bantuan ini dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

6. Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi

Bagi memastikan pembiayaan alternatif terus berkembang, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menambah baik peraturannya berdasarkan perkembangan semasa. Antara lain, had pengumpulan dana akan dinaikkan daripada 10 juta kepada 20 juta ringgit serta Equity Crowdfunding akan diperluaskan kepada syarikat berhad yang tidak tersenarai.

Untuk terus menggalakkan syarikat mengumpul dana menerusi pasaran saham, fi berkaitan penyenaraian akan dikecualikan selama 12 bulan bagi syarikat yang memohon penyenaraian di pasaran MAIN, LEAP atau ACE. Selain itu, rebat untuk fi penyenaraian tahunan bagi tahun 2021 juga akan diberikan kepada syarikat tersenarai yang telah melaporkan kerugian berdasarkan laporan suku tahunan mereka.

Seterusnya, bagi membantu mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan dan boleh menyebabkan risiko penggulungan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersetuju nilai ambang keterhutangan atau indebtedness threshold dinaikkan daripada 10 kepada 50 ribu ringgit.

Pada masa yang sama, SSM juga memberi kemudahan pendaftaran perniagaan percuma kepada kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Kerajaan menyedari bahawa gerakan koperasi turut terjejas berikutan pandemik COVID-19. Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan menyediakan insentif pembiayaan sehingga 100 ribu ringgit tanpa cagaran bagi membantu koperasi yang terkesan.

Permohonan pembiayaan ini akan dipermudahkan dan proses kelulusan akan dipercepatkan dengan memberi kelonggaran bayaran balik selepas enam bulan pembiayaan diluluskan. Sejumlah 50 juta ringgit dari Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan diperuntukkan yang dijangka dapat membantu lebih 14,000 koperasi.

Selain itu, Kerajaan telah meluluskan geran padanan sebanyak 30 juta ringgit untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi industri sawit. Kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak 20 juta ringgit dalam bentuk geran padanan bagi tujuan pembelian jentera kepada Koperasi Penanaman Sawit Mampan. Ini dijangka memanfaatkan 65 koperasi dengan keahlian sebanyak 6,000 pekebun kecil.

Geran Padanan Digitalisasi di bawah BSN yang sebelum ini dimanfaatkan oleh syarikat turut diperluaskan kepada koperasi bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.

Fokus Ketiga: Memperkukuh Dayasaing Negara

1. Mengukuhkan Persekitaran Perniagaan

Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan atau PEMUDAH sentiasa komited untuk memastikan peraturan yang tangkas atau agile regulation dilaksanakan bagi mendorong pelaburan semula perniagaan domestik.

Ini termasuk perluasan program Authorised Economic Operator Nasional yang memberi kemudahan laluan hijau kepada syarikat yang layak bagi urusan eksport dan import dan pemendekan tempoh memproses permohonan pelaburan.

2. Automasi dan Digitalisasi

Bantuan moratorium bersasar yang diumumkan oleh Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia telah berjaya mengurangkan beban 1.4 juta peminjam individu dan PKS yang terjejas, dengan kadar kelulusan sehingga 95 peratus. Bantuan ini masih dibuka kepada orang ramai.

Bagi membantu PKS mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak 2 bilion ringgit dan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi sebanyak juta ringgit. Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh Bank Negara untuk manfaat PKS berjumlah 6 bilion ringgit.

Di bawah MIDF, sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau. MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dari 5 kepada 3 peratus bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

Di samping itu, dana tambahan sebanyak 50 juta ringgit bagi Geran Automasi Pintar di bawah MIDA turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. Selain itu, bagi menyokong IR4.0, peruntukan berjumlah 50 juta ringgit akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah MITI.

Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman 200 juta ringgit untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20 peratus ke atas nilai mesin.

3. Mengurangkan Jurang Digital

Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Jaringan Prihatin bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada internet, merapatkan jurang digital golongan B40 dan menyokong agenda pendigitalan negara.

Jika Belanjawan 2021 sebelum ini telah mengumumkan subsidi pembelian telefon sebanyak 180 ringgit kepada semua penerima BPR, sukacita diumumkan Kerajaan akan menambah baik subsidi ini kepada 300 ringgit khusus untuk isi rumah yang mempunyai anak bersekolah bagi pembelian telefon pintar atau peranti baharu.

Dengan itu, peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada 2 bilion ringgit dan insha-Allah, akan dilancarkan awal bulan Mei. Muhyiddin juga menyeru kepada syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota data tambahan.

Rangka kerja MyDIGITAL dan Ekonomi Digital Malaysia telah menggariskan perkhidmatan 5G komersil sebagai keperluan terpenting kerana internet kelajuan tinggi adalah perlu untuk mencetuskan inovasi dan peluang kerja baru dalam ekonomi digital negara. Oleh itu, perkhidmatan 5G dijangka akan beroperasi secara berperingkat mulai hujung tahun ini.

Selain itu, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar terutamanya di luar bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau SKMM telah memperuntukkan 3.2 bilion ringgit untuk tahun 2021 di bawah Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat bagi menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan menyediakan capaian gentian optik ke premis-premis berkaitan.

Seterusnya, SKMM akan memperkenalkan program MyBAIKHATI dengan kerjasama pihak syarikat telekomunikasi sebagai inisiatif crowdsourcing peranti. Program ini akan dimulakan dengan penganjuran kempen kutipan peranti terpakai seperti komputer riba yang akan dibaik pulih dan diagihkan kepada antara lain Pusat Internet Komuniti dan pertubuhan komuniti.

4. Menggalakkan Pelaburan dan Pasaran Eksport

Sebagai pemboleh daya yang penting bagi program pemulihan negara, pelaburan asing dan perdagangan antarabangsa perlu diberi tumpuan khusus. Bagi tujuan ini, MITI akan terus meneroka potensi eksport baharu, serta menggalakkan penggunaan automasi serta mekanisasi dalam kalangan pemain industri.

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah inisiatif eBizLink, iaitu platform pemasaran digital secara maya dan hibrid, serta inisiatif Globepreneur yang bertujuan mengetengahkan lebih banyak syarikat PKS berpotensi ke pasaran antarabangsa.

Kerajaan juga akan menaikkan siling Geran Pembangunan Pasaran atau MDG daripada 300 ribu kepada 500 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang menyertai platform pameran antarabangsa. Bagi menjana sumber kekayaan baharu negara, geran padanan bernilai 50 juta ringgit akan disediakan untuk membangunkan industri aeroangkasa dan peranti perubatan.

5. Menggalakkan Pembiayaan Mampan

Program PEMERKASA akan menyokong agenda kelestarian negara, terutamanya ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG menjelang 2030.

Kerajaan bersama PBB Malaysia akan menubuhkan Dana Amanah MySDG sebagai platform yang membolehkan pembiayaan dari pelbagai sumber untuk membiayai projek yang menepati kriteria SDG.

Bagi menyokong matlamat negara untuk menjadi hab kewangan lestari, Kerajaan akan melancarkan Sukuk Lestari berjumlah tidak kurang dari 1 bilion dolar Amerika. Hasil dari sukuk berkenaan akan membiayai program dan projek yang mempunyai elemen kelestarian di samping menangani kesan sosio-ekonomi akibat wabak COVID-19.

Fokus Keempat: Memastikan Agenda Keterangkuman

Kerajaan akan terus memelihara kebajikan rakyat terutamanya mereka yang masih terjejas. Inisiatif kali ini akan lebih tertumpu kepada golongan rentan, kurang upaya dan mereka yang kehilangan pekerjaan.

1. Bantuan Kehilangan Pendapatan

Kerajaan akan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada 4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan seperti berikut:

Bantuan tunai secara one-off sebanyak 500 ringgit diberikan kepada golongan B40 yang telah hilang pendapatan; dan

Bayaran tambahan sebanyak 500 ringgit diberikan kepada penerima BPR yang berpendapatan 1,000 ringgit dan ke bawah.

Kedua-dua kategori ini melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing.

Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan. Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan.

Seterusnya, Kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021. Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

2. Menambahbaik Program Bantuan Rentan Bandar

Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan semua golongan masyarakat dapat dibantu semasa tempoh yang sukar termasuklah golongan gelandangan. Oleh yang demikian, DBKL telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Anjung Kelana di Taman Desa Kuala Lumpur sebagai pusat perlindungan sementara.

Dan bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai. Program ini dijangka akan memanfaatkan ribu isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.

Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran 40 juta ringgit. Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak 50 ringgit sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan.

Selain itu, program klinik bergerak merupakan satu program melibatkan penyediaan rawatan asas dan pemeriksaan percuma kepada warga tempatan khususnya golongan rentan bandar bagi memperkasakan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa ini, MyMedic@Wilayah di bawah DBKL menyediakan perkhidmatan klinik bergerak meliputi kawasan PPR dan perumahan awam kepada golongan yang kurang berkemampuan serta rawatan secara terus kepada pesakit kronik dan uzur yang terlantar di rumah.

Sehubungan itu, sejumlah 30 juta ringgit akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan ini ke seluruh negara melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.

Dan dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

3. Prihatin Wanita

Bagi memperkasa usahawan wanita, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro, serta Program Shop Malaysia Online, Kerajaan akan menyediakan dana 30 juta ringgit untuk membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian.

Sebagai tambahan, BSN juga akan menyediakan sejumlah 50 juta ringgit bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk memberi galakan usahawanita menceburi bidang perniagaan.

Selain itu, peruntukan sebanyak 10 juta ringgit dalam bentuk dana padanan 70 peratus bagi usahawan wanita dan wanita yang bekerja sendiri turut disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.

4. Prihatin OKU

Golongan OKU yang bekerja turut terjejas dalam tempoh yang sukar ini. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan had kelayakan gaji maksimum bagi bantuan Elaun Pekerja Cacat daripada 1,200 kepada 1,500 ringgit sebulan. Untuk tujuan ini, sebanyak 26 juta ringgit akan disediakan di mana ia akan memanfaatkan seramai hampir 5,000 OKU.

Selain itu, bagi membantu program keusahawanan termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan oleh OKU dan warga emas, Kerajaan bersetuju menambah 20 juta ringgit untuk memperkukuhkan program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Di samping itu, golongan OKU akan berpeluang untuk mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan SSM secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.

BSN telah menyediakan sebanyak 25 juta ringgit di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit dan kadar faedah serendah 3 peratus.

5. Prihatin Belia

Kerajaan telah memperkenalkan program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, khususnya mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa.

Program tersebut akan ditambahbaik dengan meningkatkan nilai kredit daripada 100 kepada 150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia dengan jumlah peruntukan sebanyak 300 juta ringgit. Program ini akan dilaksanakan mulai bulan Jun 2021.

Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar terlibat dalam projek-projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit, menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak 21 juta ringgit.

Oleh itu, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

Selain itu, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah peruntukan bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala, program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

BSN juga menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah 3 peratus untuk membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga 50,000 ringgit.

6. Penerusan Subsidi bagi Meringankan Kos Sara Hidup

Berdasarkan trend semasa, adalah dijangkakan harga minyak dunia akan meningkat dan terus menyebabkan kenaikan pada harga runcit petrol dan diesel.

Bagi melindungi anda daripada kesan kenaikan harga minyak ini, harga runcit petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada paras harga siling RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter. Kerajaan pada masa ini menanggung subsidi pada kadar hampir 30 sen seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung jumlah subsidi bernilai 3 bilion ringgit pada harga semasa.

Kerajaan juga menanggung subsidi yang tinggi ke atas produk gas cecair petroleum atau LPG. Harga sebenar di pasaran setong gas LPG bersaiz 14 kg pada masa ini adalah sekitar RM50. Namun, harga runcit telah ditetapkan pada paras RM26.60 setong.

Oleh itu, Kerajaan telah memberi subsidi hampir 50 peratus bagi setiap tong LPG 14 kg yang digunakan oleh rakyat khususnya isi rumah. Kerajaan akan terus memberi subsidi berkenaan supaya harga barangan keperluan harian kekal berpatutan.

Meringankan Beban Rakyat!

Seperti yang kita tahu, pelbagai strategi pemulihan ekonomi telah dilakukan demi kesejahteraan rakyat. Kerajaan telah berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima manfaat.

PEMERKASA dengan nilai keseluruhan 20 bilion ringgit adalah satu lagi inisiatif Kerajaan Perikatan Nasional untuk meringankan beban yang sedang ditanggung oleh anda, mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi dan merancakkan aktiviti perniagaan.

Ingat, Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa Prihatin akan sentiasa mendengar dan peduli terhadap nasib anda semua. Jadi jangan risau okay!