Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang juruterbang warga tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kg pil ekstasi bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki itu ditahan sejurus tiba dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada malam Selasa lalu.
“Suspek ditahan di sana dan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara itu,” katanya.
Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan Pengarah Direktorat Tindak Pidana Narkoba Bareskrim Polri, Brigedier Jeneral Eko Hadi Santoso berkata, penahanan itu selepas kastam mengesan sebuah bagasi yang mencurigakan menerusi pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di kawasan ketibaan antarabangsa Terminal 3.
“Hasil pemeriksaan menemukan 70,114 biji pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram. Turut ditemukan satu bungkusan syabu seberat 2.7 gram di dalam bagasi tersebut,” katanya.
Eko berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku direkrut sebagai keldai dadah oleh sindiket antarabangsa yang dipercayai berpangkalan di Malaysia dengan dijanjikan upah kira-kira RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu ke Jakarta.
“Suspek memaklumkan dia akan menerima arahan daripada seseorang yang dipercayai berada di Malaysia, manakala seorang lagi individu akan mengambil bagasi yang mengandungi dadah itu di sebuah hotel di Jakarta,” katanya.
Beliau berkata, suspek mengaku pernah membawa syabu ke Sabah dan menghantar kira-kira tujuh kg
Menurutnya, keputusan ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati lelaki itu positif methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi) dan kokain.