fbpx

Patah Balik Ke Mahkamah, PU Abu & Ain Afini Sah Cerai Talak Dua

Semalam, rata-rata netizen merasa gembira apabila Mahkamah Rendah Syariah Klang memutuskan lafaz talak yang dibuat PU Abu terhadap isterinya, Ain Afini menerusi Whatsapp tidak sah.

Bagaimanapun, rumahtangga PU Abu Sufyan dan Ain Afini akhirnya menemui titik nokhtah apabila pasangan itu disahkan bercerai dengan talak dua selepas kedua mereka kembali ke mahkamah semula susulan PU Abu dikatakan tidak memberi kenyataan penuh.

BACA: Mahkamah Putuskan Lafaz Cerai PU Abu Tidak Sah

Bagaimanapun, PU Abu enggan berkongsikan kenyataan tambahan itu tersebut kepada umum.

“Ketika hakim buat keputusan (penceraian tidak sah) itu, sebenarnya ada kenyataan yang tidak penuh daripada pihak saya. Ada maklumat yang tidak cukup membuatkan perceraian itu tidak sah dan saya terpaksa berpatah balik bagi menambah kenyataan.

“Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas prosiding pagi tadi (Rabu), saya baru teringat ada kenyataan yang saya tidak jelaskan kepada mahkamah.

“Saya dan Ain terpaksa berpatah semula ke sana dan mahkamah akhirnya memutuskan kami sah bercerai,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, Ain Afini mengesahkan perkara tersebut namun tidak dapat berkongsikan kenyataan tambahan PU Abu yang dikemukakan kepada mahkamah kerana melibatkan aib bekas suaminya.

“Kami sambung bicara kes waktu petang. Ada maklumat pihak lelaki yang tak lengkap sewaktu perbicaraan pagi,” katanya.

“Itu yang menjadi punca talak tak sah. Jadi kalau ikutkan mahkamah (keputusan) macam tu la… jatuh talak dua. Tapi maaf saya tak dapat kongsikan (fakta tambahan yang dikemukakan kepada mahkamah) kerana ia melibatkan aib di pihak sana,” katanya.

Pada 28 Januari tahun lalu, PU Abu dan Ain Afini telah bercerai talak satu dan rujuk semula kira-kira sebulan kemudian.

Bagaimanapun, PU Abu menghantar teks lafaz cerai menerusi WhatsApp pada pukul 11.44 pagi, 13 Mac lalu selepas seminggu meninggalkan Ain ‘Afini. Ain Afini yang kini sarat hamil tujuh bulan dijangka bersalin 10 Julai depan.