Pasport Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila kini berada di tangga kedua dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026, selepas menduduki tempat ketiga tahun lalu.
Lebih menarik, kedudukan itu menunjukkan lonjakan ketara berbanding hanya dua tahun lalu apabila Malaysia berada di tangga ke-10 dalam ranking Passport Index pada 2024.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan menerusi Facebook berkata, pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi di seluruh dunia.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 129 destinasi boleh dikunjungi tanpa visa, manakala 46 destinasi menawarkan kemudahan visa semasa ketibaan.
Sementara itu, hanya 23 destinasi memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan, tambah kenyataan berkenaan.
“Pencapaian ini mencerminkan kekuatan dan penerimaan Pasport Malaysia di peringkat antarabangsa,” menurut JIM.
Berdasarkan Passport Index, Malaysia mencatat Mobility Score sebanyak 175 bagi 2026, sekali gus meletakkan pasport negara dalam kelompok teratas dunia.
Kedudukan terbaharu itu meneruskan peningkatan ketara pasport Malaysia dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Berdasarkan rekod Passport Index bagi 2024, Malaysia ketika itu berada di tangga ke-10 dunia bersama Monaco dengan Mobility Score 170.
Ketika itu, pemegang pasport Malaysia mempunyai akses tanpa visa ke 124 destinasi dan visa semasa ketibaan di 46 destinasi, manakala 28 destinasi memerlukan visa.
Malaysia kemudiannya melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ketiga dunia pada 2025 sebelum meningkat satu lagi kedudukan ke tangga kedua tahun ini.
Ini bermakna dalam tempoh dua tahun, Malaysia melonjak lapan anak tangga daripada kedudukan ke-10 kepada kedua dunia, manakala Mobility Score meningkat daripada 170 kepada 175.