Tampil menggayakan cincin hidung atau ‘septum ring’ ketika menghadiri majlis tayangan perdana drama bersiri lakonannya, The Secret, pelakon Remy Ishak berkata dia tidak kisah dikecam.
Memetik BH Online, Remy berkata cincin hidung itu adalah palsu dan digayakan hanya untuk berfesyen. Katanya lagi, jika dia membuat gaya tersebut ketika masa muda dulu pasti akan teruk dikecam.
BACA: Remy Ishak Rasa Muda Semula Lepas Jadi Bapa
“Yang saya pakai ini hanyalah ‘septum ring’ palsu. Ia sekadar fesyen sahaja. Berikan saya peluang nak cuba gaya baharu.
“Masa muda dahulu, saya tak boleh nak buat gaya sebegini. Kalau buat, saya akan teruk dikecam kerana status saya belum berkahwin dan tidak punyai anak.
“Sekarang tak mengapa saya kalau nak bergaya seperti ini. Lantaklah sama ada orang nak kecam atau tidak. Saya tak nak ambil peduli,” katanya.
Dilihat tubuhnya semakin kurus, Remy memberitahu dia baru saja sembuh daripada jangkitan Influenza B dan berat badannya susut 4 kilogram, malah isterinya juga turut dijangkiti.
“Mulanya, saya ingatkan ia disebabkan kerja kerana proses latihan teater sangat berat dan memenatkan. Rupanya, saya terkena jangkitan.
“Saya jalani kuarantin selama seminggu dan segala aktiviti penggambaran terpaksa ditangguhkan. Impaknya macam demam denggi dan berat badan saya turun daripada 85 ke 81 kilogram.
“Isteri juga dapat jangkitan dan saya sangat risau keadaan anak. Alhamdulillah, antibodi anak kuat dan sihat,” katanya.
SUMBER: BH Online