fbpx

Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau lebih mesra diberi gelaran netizen sebagai ‘Pak Long Mail’ sempat untuk meluangkan masa berbuka puasa bersama anggota dan pegawai tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Port Dickson.

Ia bermula dengan Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).

Lawatan Ke Kem-kem Tentera

Ini bukan setakat majlis berbuka puasa jer tau, ia juga siri lawatan Ismail Sabri ke kem-kem tentera di seluruh negara. Kalau anda nak tahu, lawatan ini dah pun menjadi kewajipan sejak beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan setahun lalu.

Ismail Sabri berkata, menerusi lawatan ke kem-kem tentera inilah beliau dapat mengetahui sendiri apa keperluan dan tahap kesiapsagaan setiap kem. Awesome betul ‘Pak Long Mail’ kita ni.

“Saya akan melawat kem pada setiap dua minggu sekali di seluruh negara. Saya akan mendengar dan diberi taklimat daripada segi kesiapsagaan tentera di setiap kem yang saya lawati.

“Kita tahu setiap kem mesti berada dalam keadaan kesiapsagaan bagi menghadapi apa juga keadaan yang berlaku, kita melihat daripada sudut itu,” katanya.

Dalam Majlis Berbuka Puasa itu juga, turut hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Ab Rahman dan Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd. Hadi.

Beri Sumbangan Pada Yang Memerlukan

Di samping itu, Ismail Sabri turut berkesempatan memberikan sumbangan sempena bulan Ramadan kepada lima orang anggota tentera yang memerlukan.

Yelah ini untuk memastikan tahap kesiapsagaan tetap berada di tahap tertinggi serta untuk mengutamakan kebajikan anggota tentera dan juga keluarga.

Sebelum majlis tersebut juga, Menteri Kanan Pertahanan turut berkesempatan melawati dua orang waris anggota (PLDTD) yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan bantuan.

Mereka ialah Nor Diana Yusmaliza Yusnizal, 9, anak kepada Sarjan Yusnizal Mohamed Yahaya daripada Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Pusasda yang menghidapi penyakit microcephaly (kepala mengecil) sejak dilahirkan.

Turut dikunjungi beliau, Siti Mazidah Mokhtar @ Zulkifly, 38, isteri kepada Pegawai Waran 2, Hazizi Jebeng yang bertugas di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED).

Untuk info anda, Siti Mazidah menghidap penyakit oesteoporosis saraf tulang belakang dan arteraitis. Sehingga kini dia masih lagi menjalani rawatan berkala di Hospital Port Dickson dan sedang menunggu giliran bagi mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Peruntukan Tambahan Diluluskan

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, sebanyak RM79.3 juta peruntukan tambahan telah diluluskan sepanjang tahun 2020 sehingga kini kepada tentera darat.

Ia juga susulan lawatan kerja Ismail Sabri Yaakob ke kem-kem tentera darat yang terdapat di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan yang disalurkan tersebut termasuklah bagi kerja-kerja penyelenggaraaan bangunan teknikal, rumah-rumah anggota tentera serta penurapan jalan.

“Hasil daripada lawatan kerja oleh Datuk Seri (Ismail Sabri) sepanjang tahun 2020 dan 2021, peruntukan tambahan berjumlah RM79.296 juta telah diluluskan kepada tentera darat.

“Peruntukan tambahan ini antaranya melibatkan kerja penyelenggaraan bangunan teknikal, naik taraf rumah keluarga anggota tentera, penurapan jalan dan penyelenggaraan dewan serbaguna. Semua ini dilaksanakan Datuk Seri dengan hasrat untuk menjamin kebajikan warga tentera darat sentiasa terpelihara,” katanya.

Selepas majlis berbuka puasa di sini, Ismail Sabri turut dijadual menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota dan pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan, Pahang dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.