fbpx

Semalam, perkongsian pengarah dan penerbit Michael Ang mendapat perhatian ramai menggesa rakyat Malaysia mengamalkan ‘self lockdown’ susulan kes terbaru mencecah 7,000 jangkitan.

Menerusi entri tersebut, Michael turut meluahkan rasa simpati terhadap petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus untuk memutuskan rantaian virus berkenaan.

BACA: Michael Ang Tawar RM500 Kepada 10 Individu Berjaya ‘Self Lockdown’

“Tahniah rakyat Malaysia! Tercipta satu lagi rekod dengan 6,976! Sikit lagi 7,000! Apa lagi, tunjukkan anda boleh! Terus keluar berjalan-jalan dan ‘yak yak yeh’ (berseronok) dan tak payah ikut prosedur operasi standard (SOP)!

“Kau orang tak tengok ke video petugas barisan hadapan cuba selamatkan kesakitan Covid-19 di pusat kuarantin? Jangan pentingkan diri sendiri! Kasihan petugas barisan hadapan. Jangan sampai mereka putus asa!” tulisnya.

Sementara itu, dalam satu lagi perkongsian Michael berkongsikan pertanyaan netizen mengenai statusnya berkenaan self lockdown dimana tidak semua orang boleh melakukan ‘self lockdown’ kerana bekerja.

Pertanyaan netizen itu dibalas oleh Michael yang mengatakan bahawa mereka yang bekerja juga boleh melakukan self lockdown serta meminta berhenti memberi alasan tidak boleh lakukan kerana tiada bantuan dari kerajaan.

“Orang bekerja pun boleh amalkan ‘self lockdown’ iaitu pergi dan balik kerja sahaja. Bungkus makanan dari rumah, tak payah keluar makan tengah hari dan jaga SOP di pejabat!

“Sudah-sudahlah dengan alasan tak boleh ‘lockdown’ sebab kerajaan dan tak bantu dan lain-lain. Takkan nak suap kau orang sampai masuk kubur!” tulisnya.