fbpx

Nyanyian Terkucil, Nabila Razali Akui Tak Jaga Makan

Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila tular nyanyian Nabila Razali yang ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua secara langsung, rata-rata netizen mempersoalkan kemampuan vokal penyanyi itu.

Hampir seminggu mendiamkan diri, akhirnya Nabila tampil memuat naik satu video menjelaskan mengenai isu hangat tersebut. Mengakui kesilapannya, Nabila berkata perasaannya gugup dan kurang latihan punca insiden itu terjadi.

BACA: Sebak Nyanyian Live Terkucil, Nabila Razali Mohon Maaf

https://www.instagram.com/p/CA9RK1gFiZW/?utm_source=ig_embed

“Saya buat video ini bukan untuk menegakkan benang yang basah. Seperti yang korang tengok, persembahan saya sangat memalukan. Saya kesal dengan apa yang berlaku.

“Selepas saya nilai semula video itu, saya kurang warm up, tak jaga makan sepanjang PKP, saya lama tak buat persembahan. Jujur saya cakap malam itu malam paling gementar buat saya.

“Saya tahu ramai yang meletakkan harapan yang tinggi, tapi saya gagal dalam cubaan pertama saya,” katanya.

Bagaimanapun, Nabila berkata dia mengakui terkilan dengan kritikan yang teruk daripada netizen yang menghentam persembahannya. Nabila turut menyifatkan komen yang diberikan terlalu kejam dan kasar.

“Sampaikan saya terfikir bagaimana mereka dibesarkan sampai sanggup guna ayat kasar sebegitu kepada orang yang mereka tak kenal.

“Kepada yang nak komen tu, komenlah dengan cara berhemah sebab komen anda menggambarkan keperibadian anda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nabila berkata insiden tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus pergi lebih jauh. Ujarnya, dia juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Kita pun manusia biasa juga yang tak boleh lari daripada melakukan kesilapan. Cuma, kesilapan kami ini ditonton oleh jutaan orang. Jadi, janganlah asyik nak menghukum.

“Segala komen positif dan negatif saya terima dengan hati terbuka. Saya jadikan iktibar pada masa akan datang. Selepas apa yang berlaku ini juga, buat saya sedar siapa kawan kita sebenar,” katanya.