fbpx

Nyanyi Sampai Lengan Terdedah, Shila Amzah Akui Silap

Baru-baru ini, nama penyanyi Shila Amzah menjadi bualan apabila tidak sengaja mendedahkan aurat pada bahagian lengannya sewaktu membuat persembahan di konsert Gegar Vaganza pada Ahad lalu.

Memetik Kosmo, Shila mengakui dia tidak perasan dan terlepas pandang mengenai perkara itu. Katanya lagi, dia tidak sangka sarung tangannya itu melorot sehingga menampakkan lengannya.

BACA: “Masa Dengan Anak Pun Tak Cukup, Apatah Lagi Nak Bercinta” – Shila Amzah

“Saya akui tidak perasan sarung tangan panjang yang digayakan melorot sehingga menampakkan bahagian lengan. Material sarung tangan itu kulit, jadi sepatutnya melekat dengan baik. Tapi tak sangka jadi sebaliknya,” katanya.

Menurut Shila lagi, pakaian yang digayakan itu bukanlah busana asal dan telah ditukar di saat-saat akhir atas sebab tertentu.

“Kalau ikutkan saya pakai baju lain. Baju yang saya pakai ini ditukar pada saat akhir kerana lebih sesuai dengan konsep persembahan.

“Sepatutnya saya kena pin bahagian antara lengan baju dengan sarung tangan. Tapi perkara dah nak jadi. Masalah teknikal melibatkan ‘wardrobe’ adalah suatu perkara yang kita sendiri kadang-kadang tidak sangka,” katanya.

Dalam pada itu, selain pakaian persembahannya menyanyikan lagu Survivor itu turut kurang disenangi penonton apabila dikatakan berlebih-lebihan dan tidak bersesuaian dengan imejnya berhijab.

Bagaimanapun, Shila berkata dia perlu bergerak lincah dan agresif, sesuai dengan lagu yang dipersembahkan pada malam itu.

“Di atas pentas, saya perlu menjadi diri sendiri. Lagipun persembahan dibuat pada minggu suku akhir. Saya tidak boleh nak simpan-simpan (persembahan) lagi. Saya hanya buat sehabis baik,” katanya.