Jika semalam, pelakon veteran Mak Wan memaklumkan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak lulus, kali ini Norlia Ghani pula turut menerima nasib sama. Bagaimanapun, lain pula situasi yang berlaku pada pelakon veteran itu.
Pelakon 72 tahun itu terkejut diberitahu tidak layak mendapat bayaran baki BPN sedangkan pembayaran fasa pertama sudah diterima April lalu. Lebih musykil apabila Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu namanya berdaftar pada sebuah syarikat.
BACA: “Usia Begini Jangan Ingat Saya Tak Fikir ‘Di Sana’”
“Pada awalnya saya layak dan sudah pun terima pembayaran awal BPN pada April lalu dan sepatutnya akan terima baki selebihnya seperti orang lain. Tapi tiba-tiba bila saya periksa, tak layak pula.
“Jadi saya dan anak pergi la LHDN untuk bertanyakan perkara itu dan terkejut bila diberitahu yang saya tak layak sebab ada syarikat. Pihak LHDN cakap mungkin ada orang guna nama atau saya ada tanda tangan untuk mana-mana syarikat.
“Setahu saya memang tak pernah lagi saya buka syarikat atau mungkin saya sendiri yang bersikap cuai atau tak sedar beri tanda tangan pada kenalan. Benda itu saya tak perasan pula dan tak ingat,” katanya kepada mStar.
Norlia berkata dia pasrah jika tidak mendapat bantuan tersebut memandangkan ramai yang berkongsikan turut mengalami nasib sama sepertinya. Katanya lagi, Norlia berharap COVID-19 akan segera berakhir supaya dapat mencari rezeki semula.
“Saya pasrah sekiranya tidak dapat bantuan tersebut. Cuma saya berasa hairan tiba-tiba saya tak layak sebab tu saya pergi check di LHDN. Sebenarnya apa yang saya harapkan COVID-19 cepat berakhir.
“Bila wabak ini berakhir saya dapat kerja semula walaupun tak ada la banyak penggambaran. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat cari rezeki sendiri,” katanya.