fbpx

Norlia Ghani Dikutuk, Dah Tua Masih Gedik Nak Berlakon

Dikatakan gedik oleh seorang pelakon wanita kerana masih mahu berlakon walaupun sudah tua, pelakon veteran Norlia Ghani menganggap individu tersebut kurang ajar.

Pelakon berusia 73 tahun itu turut mempersoalkan dia tidak mengganggu sesiapa serta tidak faham mengapa dia dikatakan gedik.

BACA: Wajah & Penampilan Dipersenda Di Twitter, Norlia Ghani Tak Ambil Hati

“Saya anggap dia kurang ajar. Ibu bapa dia tak ajar hormatkan orang tua. Dah katanya, kita tua dan saya tak marah pun sebab umur sekarang sudah 73 tahun. Tapi dia kata, ‘gedik’ kenapa?

“Saya ada ganggu dia ke, suami atau anak dia ke? Kenapa tiba-tiba kata ‘gedik’ dan orang tua macam saya pula dipilih. Pada hal, ada orang lain yang ‘gedik’ dan lebih daripada ‘gedik’ pun ada. Tapi, kenapa tak cakap macam itu?,” katanya.

Enggan mendedahkan identiti pelakon wanita yang bertudung labuh itu, Norlia berkata dia tidak mahu memanjangkan cerita kerana pada usianya kini tidak sesuai terkiat dengan kontroversi.

“Apapun, bila kita dengar perkataan ‘gedik’ itu, dalam bahasa kasarnya gatal. Kalau kata saya gatal itu pasal apa, saya ada ganggu suami dia ke? Saya sebenarnya malas nak layan perkara-perkara macam ini.

“Tapi pada saya, dia itu orangnya kurang ajar. Dah tak ada topik nak keluar, dia buat benda-benda macam ini. Biarkanlah sebab saya pun dah biasa. Sudah lebih 50 tahun saya berlakon dan macam-macam orang cakap saya,” katanya.

Masih gigih lagi ‘shooting’ drama, Norlia meluahkan rasa syukur dengan rezeki diberikan dan menjadikannya lebih bersemangat kerana mampu lagi berlakon.

Ditanya dari mana dia tahu mengenai tohmahan terhadap dirinya itu, Norlia berkata perkara itu dikongsi di media sosial namun dia tidak mahu panjangkan lagi cerita.

“Lainlah kalau cakap berdepan dengan kita, tahulah nasib dia. Kalau dia kata depan saya ‘gedik’, paling-paling penampar yang dia dapat,” katanya.