Sudah lama kita tidak mendengar khabar pelakon jelita Datin Nina Juren yang sebelum ini pernah mewarnai industri hiburan tanah air menerusi filem dan drama lakonannya seperti Impak Maksima The Series, Lenjan, Kembara dan banyak lagi.

Terbaru dia bakal muncul dengan filem terbaru berjudul Romeo Kota Kes Fail: Kriptik bersama dengan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Aaron Aziz, Nabil Ahmad, dan Hanis Zalikha. Ini merupakan filem pertama untuknya membuat kemunculan semula selepas 7 tahun tidak berlakon.


Walaubagaimanapun, industri hiburan tanah air kini mempunyai ramai pelakon baru dan juga pelapis dan ini membuatkan beliau memuji sebilangan mereka yang memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam menghadapi persaingan hebat masa kini.

“Mereka di belakang tabir saya tak tahu, tetapi apabila berada di depan kamera saya dapat rasa komitmen mereka sahaja seperti artis-artis terdahulu. Bagus juga artis-artis sekarang mereka pandai menggunakan karakter yang diberikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelakon zaman ini perlu bersaing kerana terlalu ramai pelakon yang bagus sehinggakan peminat-peminat terlupa antara mereka disebabkan hanya satu drama atau filem sahaja membuatkan nama mereka popular seketika.

“Bagi saya sekarang artis terlalu ramai, kalau kita perasan ramai sangat untuk peminat mengingati mereka (pelakon) itu semua. Orang akan ingat karakter sahaja dalam drama tersebut. Zaman saya pula berbeza tak ramai artis contohnya kalau berlakon di TV1, akan muncul pula di TV2, dan TV3 muka yang sama tetapi sekarang ini berbeza terlalu ramai. Saya bukan kata tak bagus, tapi pada masa sekarang ini memang ramai pelakon,” ujarnya.


Sementara itu, bagi peminat-peminat yang merindui lakonan Datin Nina Juren, anda bolehlah ke pawagam seluruh tanah air pada 8 Januari 2015 ini untuk menyaksikan aksinya dalam filem Romeo Kota Kes Fail: Kriptik. Jom! (rtky/hfz)