Setelah hampir setahun mendirikan rumah tangga buat kali kedua, Datuk Seri Adnan Abu mendedahkan sebab sebenar beliau bertindak menikahi Adira di Thailand pada Disember lalu. Menurutnya, dokumentasi pernikahan bukanlah sebab utama beliau bertindak sedemikian tetapi hanya kerana ingin menjaga hati isteri pertamanya, Syarifah Norshafila Hassim.
BACA: Adira AF Tak Kisah Jika Suami Mahu Kahwin Empat
“Sebab itu masa nak kahwin Adira, saya tidak beritahu Datin Red dua bulan awal supaya dia tidak rasa perit dan sakit. Mana ada perempuan dalam dunia ini hendak dimadu. Sudah kahwin dengan Adira baru saya beritahu, jadi sakitnya sekali saja. Sebelum itu saya ada bagi bayangan nak kahwin dengan Adira tapi dia tidak percaya, pasal muka saya muka tidak siap”
“Saya sendiri yang perasan saya kacak tapi saya memang tak kacak. Saya memang teringin orang puji saya tetapi tak ada orang puji. Kalau ada anugerah isteri mithali, memang saya akan serahkan pada Norshafila. Dialah yang paling saya sayang. Macam mana saya dapat yang baru pun, yang lama ini saya tidak akan buang,” katanya kepada Projek MMO mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Adira dilaporkan telah bernikah dengan Dato Red di Songkhla, Thailand selepas tiga minggu perkenalan mereka. Menurut Adira, pernikahan tersebut terpaksa dilakukan disana kerana terdapat masalah penyediaan dokumentasi pernikahan yang diperlukan di Malaysia, lebih-lebih lagi perkahwinan ini melibatkan poligami diantara beliau dan suami.
Bagaimanapun, Adira yang kini sudah bergelar isteri kedua Dato Red tidak mempunyai masalah dengan status yang dipegangnya kini. Malah dalam perkembangan terbaru pula, Adira telah berkongsikan berita gembira mengenai kehamilan beliau di laman sosial baru-baru ini dengan usia kandungan memasuki 10 minggu, selain merancang percutian ke Eropah. (rkty/w)