Pempengaruh media sosial, King Coco berkongsikan dia kini melayarai fasa bahagia bergelar isteri kepada pelakon dan usahawan Singapura, Nick Mikhail.
Memetik Xtra, Coco berkata dia sebak apabila mengingat kembali perjalanan hidupnya sebelum ini serta kecaman pernah dilaluinya.
BACA: King Coco Dedah Wajah Suami Baru, Dah Setahun Kahwin?
“Saya rasa sangat sebak. Kalau tengok perjalanan saya dalam media sosial, terlalu banyak perkara yang berlak. Banyak kecaman dan macam-macam lagi.
“Tapi dalam tempoh tiga atau empat tahun kebelakangan ini, saya rasa lebih tenang. Bila akhirnya kita dapat capai ketenangan itu, rasa sebak untuk berkongsi dengan semua orang,” katanya.
Sebelum ini menyepi selama beberapa tahun, Coco berkata dia lebih mengutamakan rumah tangganya selepas berkahwin kali kedua.
“Saya sibuk menguruskan kehidupan sebagai isteri. Seperti yang ramai tahu, saya dah berkahwin kali kedua dengan Nick dan sekarang lebih fokus kepada keluarga serta suami,” katanya.
Dalam pada itu, Coco mengakui dia kini berada bersama lelaki yang tepat namun rumah tangganya juga tidak sempurna dan apa yang penting saling terima kekurangan masing-masing.
“Memang saya akui, saya berada di tangan yang tepat. Tapi saya tak pernah kata perkahwinan kami sempurna seperti dalam cerita dongeng.
“Ada hari dia kuat dan saya lemah, ada hari saya pula yang lebih kuat. Apa yang penting, kami salint terima kekurangan masing-masing dan mungkin itu membuatkan hubungan kami terus kukuh sehinga hari ini,” katanya.
Sumber: Xtra