fbpx

Neelofa Dedah Pernah Berjiran Dengan Mona Fandey

Selepas hampir 12 tahun, filem kontroversi Dukun ditayangkan di pawagam minggu lalu. Seperti sudah dijangka, filem itu mendapat sambutan luar biasa dan mencatat kutipan RM6.2 juta walaupun baru 4 hari ditayangkan.

Ramai yang beranggapan filem tersebut diadaptasi dari kisah benar wanita yang mengamalkan ilmu hitam dikenali sebagai Mona Fandey.

BACA: Dakwa Filem Dukun Pesong Akidah, Umie Aida Sedih

Baru-baru ini, menerusi program Meletop, Neelofa mendedahkan bahawa Mona Fandey merupakan jiran yang tinggal berhadapan rumah keluarganya di Kelantan.

Menurut Neelofa, 2 hari selepas menonton filem Dukun, dia tidak boleh tidur kerana teringatkan watak Dukun itu seperti Mona Fandey.

“Saya tak boleh tidur selama 2 hari selepas menonton filem Dukun. Sebenarnya saya lahir di sebuah kampung di Kelantan dan secara kebetulan rumah keluarga saya berhadapan dengan rumah Mona.

“Sehingga sekarang rumah itu masih ada dan kami sekeluarga ada gambar dan pernah makan bersama keluarga Mona suatu ketika dahulu,” katanya.

Neelofa memberitahu, rumah tersebut masih ada lagi dan menurut satu sumber rumah itu kini didiami oleh anak Mona Fandey, Irwan Affandi.