Rumah tangga penyanyi Datuk ND Lala sudah pun berakhir apabila ibu kepada Shila Amzah, Datin Fauziah Sarman mengesahkan telah diceraikan suaminya, Datuk ND Lala pada 2 Ogos lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fauziah berkata lafaz cerai dibuat oleh ND Lala pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan dia dimaklumkan semalam melalui WhatsApp.
BACA: Netizen Jumpa ND Lala Bagi Ceramah Di Kursus Kahwin
View this post on Instagram
“Assalammualaikum semua..Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya – saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp,” tulisnya.
Menurut Fauziah, dia menerima keputusan tersebut dengan berlapang dada dan Allah telah memberikan kekuatan kepadanya untuk berdepan dengan ketentuan itu.
Tambah Fauziah lagi, perkongsian tersebut adalah untuk menjelaskan status rumah tangganya itu kerana mahu mengelakkan timbulnya sebarang fitnah.
“Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan kami selama 34 tahun ini,” tulisnya.
Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada tahun 1989. Pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nurshahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.