fbpx

“Nama Ayash Diberi Sempena Nama Pejuang Di Gaza Yang Mati Syahid”

Reda di atas pemergian isterinya, pelawak Shuib Sepahtu berkata dia sering bergurau dengan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin sebagai bidadari syurga dalam hidupnya.

Bagaimanapun, Shuib berkata bagai ada kebenaran di sebalik gelaran diberikan kepada bidadarinya itu apabila satu demi satu kebaikan arwah isterinya ditunjukkan dan ramai yang tidak putus-putus mendoakan.

BACA: “Sarah Belum Divaksin, Paru-Paru Penuh Dengan Virus Covid-19”

“Kini, satu persatu Allah tunjukkan kebaikan arwah isteri. Selain doa tidak putus-putus sejak arwah dalam keadaan kritikal sehingga caranya dijemput Ilahi akibat COVID-19 dan selepas melahirkan anak keempat, saya nampak ia bagaikan ada kebenaran di sebalik gelaran yang saya berikan.

“Saya yakin dan pasti arwah pasti mencium bau syurga, insya-Allah. Saya berdoa Allah meletakkan arwah isteri di tempat yang paling baik.

“Sedih, saya adalah orang paling bersedih atas kehilangan kekuatan hidup saya. Namun, saya reda dengan ketentuan takdir. Saya bersyukur sempat mengajar arwah mengucap kalimah syahadah sebelum tutup mata,” katanya kepada BH Online.

Mengenai pemilihan anak keempat mereka, Ayash Affan, Shuib berkata nama itu dipilih oleh arwah isterinya yang diambil sempena nama pejuang di Gaza yang mati syahid.

“Arwah beriya-iya mahu nama Ayash Affan. Saya cakap nama ini tidak sesedap seperti pilihan nama anak pertama, Uwais Alqarni yang dipilihnya.

“Ikutkan, kami bergilir memberi nama anak. Sepatutnya, nama anak keempat giliran saya. Namun, arwah berkeras mahu letak nama pangkal pertama, Ayash. Namun, nama Affan adalah pilihan saya. Lalu, digabungkan nama menjadi Ayash Affan.

“Nama Ayash diberi sempena salah seorang pejuang Hamas di Wilayah Gaza yang mati syahid. Ayash juga hadiah terakhir paling bermakna untuk saya daripada arwah. Saya akan kenang detik ini, sekali gus menjaga dan membesarkan empat cahaya mata dengan baik,” katanya.