Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilarang menyertai aktiviti politik, membuat kenyataan media atau menampilkan diri di platform media sosial sepanjang menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, larangan itu antara syarat ditetapkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menerusi pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Bagaimanapun, Najib dibenarkan tinggal bersama ahli keluarganya termasuk isteri, anak, menantu dan cucu, manakala individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu.

“Tidak dibenarkan tinggal bersama dengan seseorang lain selain daripada ahli keluarga kamu terdiri isteri-isteri, anak-anak, menantu, cucu kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu.

“Lembaga Pengampunan sebut siapa yang boleh tinggal. Selain daripada itu kena ada kebenaran bertulis, tak dibenarkan menerima tetamu melainkan dengan izin bertulis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin, Najib turut dilarang menghadiri majlis keramaian, selain hanya dibenarkan menggunakan telefon dan alat telekomunikasi yang didaftarkan dengan Jabatan Penjara.

“Kedua sekatan dari segi sekatan penggunaan telefon, tidak dibenarkan guna telefon dan alat telekomunikasi selain daripada yang didaftarkan di Jabatan Penjara untuk tujuan mengesahkan berada di rumah apabila dihubungi oleh pihak penjara,” katanya.

Beliau menjelaskan, terdapat empat kategori syarat utama terhadap Najib merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat komunikasi, selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.

Katanya, Lembaga Pengampunan turut menetapkan kediaman di No. 11, Jalan Langgak Duta sebagai lokasi tahanan rumah bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Keputusan Lembaga Pengampunan berkenaan tempat tinggal disebut dengan jelas (iaitu) Nombor 11, di Jalan Langgak Duta.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan kuasa Menteri (Seksyen 3 Akta Penjara) cuma mewartakan premis itu,” katanya.

Saifuddin berkata, Najib juga tidak dibenarkan berpindah ke kediaman atau premis lain mahupun keluar dari alamat ditetapkan tanpa kebenaran bertulis.

Bagi tujuan menunaikan solat Jumaat, beliau menjelaskan Najib boleh dibawa ke masjid atau surau tertakluk kepada kebenaran yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Jabatan Penjara diberikan kuasa menetapkan syarat tambahan bagi tujuan kawalan, penyeliaan serta tatacara pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

“Semua itu telah dibacakan kepada Datuk Seri Najib dua hari lepas sebelum (beliau) dikeluarkan daripada penjara dan dihantar ke Jalan Langgak Duta,” katanya.

Menurutnya, syarat yang dibangunkan KDN itu bukan hanya untuk pelaksanaan tahanan rumah Najib, sebaliknya sebagai persediaan sekiranya terdapat kes seumpamanya pada masa depan.

×