fbpx

Nabila Razali Terima 40,000 Mesej Selepas Dedah Nombor Telefon

Tindakan Nabila Razali menjadi perhatian ramai apabila penyanyi itu menunaikan janji dengan berkongsikan nombor telefon peribadinya setelah lagu terbarunya, Peluang Kedua menerima satu juta tontonan di YouTube.

Berikutan tindakannya itu, Nabila berkata telefonnya hampir gagal berfungsi selepas menerima lebih 40,000 mesej dan ratusan panggilan daripada peminat. Kata Nabila lagi, peminat tidak berhenti-henti mesej sehingga mesej bertalu-talu masuk sehingga Subuh.

BACA: Sedar Sering Dikritik, Nabila Razali Masuk Kelas Lakonan

“Selepas kongsi nombor telefon peribadi, saya menerima mesej dan panggilan tak henti-henti daripada peminat, sampaikan telefon ‘hang’ dan bateri habis kerana mesej bertalu-talu masuk sehingga awal Subuh.

“Saya sempat jawab beberapa ratus mesej dan panggilan daripada mereka, cumanya mesej di Whatsapp itu perlukan sedikit masa untuk balas, kita tak sempat nak balas lagi, mesej orang lain pula masuk.

“Sejujurnya seronok dapat berinteraksi secara peribadi dengan peminat kerana rasa lebih dekat dengan mereka dan inilah masa untuk membalas semua sokongan peminat sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Nabila berkata ramai peminat teruja dan tidak percaya bahawa nombor yang dikongsikan itu adalah nombor peribadinya. Kata Nabila lagi, ada peminatnya yang terkejut dan malu-malu apabila dia menjawab panggilan tersebut.

“Mula-mula ada yang ingat saya main-main sahaja bagi nombor telefon, tapi bila saya jawab panggilan mereka terus terkejut dan malu-malu nak bercakap.

“InsyaAllah selagi ada masa, saya sendiri yang akan balas dan jawab panggilan mereka semua, cumanya kena bersabar sedikit sebab terlalu banyak mesej masuk,” katanya.