fbpx

Nabil Menggigil Ketika Adegan Peluk Lisa Surihani

Pertama kali bawakan watak serius dalam lakonan, Nabil mengakui yang beliau sebenarnya rasa gementar apabila diarahkan untuk berlakon adegan romantik lebih lebih apabila bergandingan dengan nama besar seperti Lisa Surihani.

“Susah sangat bawa watak romantik terutama sekali bila bergandingan dengan pelakon hebat seperti Lisa Surihani. Dia sentiasa memberi lakonan terbaik tetapi saya pula kelu dan malah tangan saya menggigil bila ada adegan berpelukkan,” ujar Nabil kepada mStar Online.

BACA: Penat Dengan Komitmen, Lisa Surihani Mahu Bercuti

Nabil dan Lisa Surihani bergandingan untuk super telefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris. Ia bakal bersiaran bermula 20 November ini di Astro First Eksklusif (Saluran 480).

Pelawak ini juga mengakui sebelum ini ada menolak banyak tawaran untuk membawakan watak serius dan air mata namun menerima tawaran berlakon untuk telefilem ini kerana ianya merupakan satu peluang untuk beliau bercuti ke Paris.

“Tahun ini sahaja ada empat atau lima drama yang memerlukan saya bawa watak air mata yang saya tolak. Saya terima sebab dapat bercuti di Paris, produksi mengaturkan jadual penggambaran dan mencari hos gantian untuk rancangan Meletop (siaran Astro Ria),” tambahnya.

Kalau mahu melihat Nabil dalam watak serius yang jauh berbeza dari imej sebelum ini, bolehlah anda tunggu tayangan telefilem Strawberi & Karipap Sesat Kat Paris kelak. (rtky/m)