fbpx

“Nabil, Jihan Tak Pernah Pun Mesej Minta Maaf”

Hampir enam tahun Gegar Vaganza bersiaran, pasti ramai tahu pengacara rancangan tersebut iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sememangnya suka melawak. Malah, juri tetap rancangan tersebut, Datuk Ramli MS sering menjadi bahan usikan.

Bukan itu saja, penyanyi Datin Alyah juga turut terkena tempias usikan mereka. Bagaimanapun, Alyah memberitahu dia tidak kisah mahupun terasa hati dengan usikan dua pengacara itu.

BACA: Alyah Dedah Masalah Rumah Tangga, Buka Aib Ramli MS

“Macam musim kali ini baru minggu pertama saya tengok. Selebihnya saya ada kerja. Tapi saya dapat banyak mesej peribadi (DM) di Instagram. Jadi dapat tahu dari situ mereka membahan atau mengenakan saya.

“Tak pernah berasa geram atau marah pun. Sebab sudah enam tahun kena perkara sama. Macam-macam mereka cakap, tapi saya di rumah okey saja.

“Kadang saya tanya juga Tok Ram, kenapa nak kena buat macam tu. Dia cakap, benda macam itu jangan ambil hati. Saya sebenarnya malas ambil tahu pun hingga tak tahu nak beri reaksi apa. Mungkin sebab sudah biasa kan,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Alyah berkata Nabil dan Jihan tidak pernah menghantar mesej untuk memohon maaf kerana dia menganggap bahawa mereka sekadar begurau. Ujarnya lagi, dia okay sahaja dan tidak sesekali menyimpan dendam.

“Nabil dan Jihan tak pernah pun mesej untuk cakap maaf. Sebab saya anggap mereka bergurau. Saya kenal Nabil sejak dia dalam Raja Lawak lagi. Kalau diberi peluang balas balik, banyak saya boleh buat. Tapi itu kerja mereka, jadi saya biar saja.

“Saya juga tak ambil hati atau simpan dendam. Cuma orang sekeliling banyak beri tekanan, sedangkan saya okey saja,” katanya.