fbpx

Nabil & Isteri Sibuk Fikir Nama Bakal Anak Kedua

Pemenang tempat ke-3 Maharaja Lawak Mega 2014 (MLM 2014), Nabil Ahmad memberitahu bahawa dia dan isteri kini sibuk memikirkan dan mencari nama yang sesuai untuk bakal anak yang akan dilahirkan tidak lama lagi.

“Cakap pasal nama, saya & isteri malam tadi sampai jam 4.00 pagi baru tidur. Kami berborak cari nama anak, Google dan segala-galanya. Menggunakan nama Naira gabungan antara nama saya dan isteri yang bermaksud ‘Cahaya’. Cuma mahu maksud yang elok dan digabungkan dengan nama komersial,” katanya yang ditemui semasa majlis ulangtahun Neelofa kelmarin.

BACA: Nabil Umum Bersara Daripada Terus Sertai Maharaja Lawak Mega Akan Datang

Menurutnya lagi, isterinya akan bersalin secara pembedahan pada 18 Mac ini. Nabil menjelaskan bahawa dia tidak ada masalah untuk memperkenalkan anaknya itu kelak kepada peminat.

“Tarikh untuk melahirkan bayi ialah 18 Mac ini dan dibuat secara pembedahan. Bagaimana pun, isteri saya tidak ada masalah alahan atau apa sahaja semasa proses mengandung seperti mana dia melahirkan anak pertama saya”

“Untuk yang kali ini saya akan buat sama seperti anak sulung saya. Saya tak akan sorok apa-apa. Ada sesetengah keluarga tidak benarkan ambil gambar anak semua. Bagi saya itu semua terpulang pada hak masing-masing. Kalau saya okay sahaja untuk berkongsi pasal anak kita. Orang kenal kita, takkan orang tak kenal anak kita. Saya tak kisah sangat,” ujarnya.

Masih Belum Rancang Guna Duit Kemenangan MLM 2014

Nampaknya rezeki Nabil Ahmad pada awal tahun baru ini membuka lembaran baru buat dirinya apabila sebelum ini telah bergelar tempat ke-3 untuk program Maharaja Lawak Mega 2014. Penarikan dirinya daripada menyertai MLM 2015, bukanlah bersara terus daripada dunia lawak tetapi hanyalah untuk program itu sahaja. Dia juga ada merancang untuk membuat satu program lawak ‘Malaysia Stand Up Comedy’ tidak lama lagi.

“Saya bukanlah nak bersara daripada bidang lawak saya cuma nak bersara dengan MLM itu sendiri. Walaubagaimanapun, saya ada satu plan, ‘Malaysia Stand Up Comedy’ ini adalah plan awal dan yang masuk ini perlu buat stand up comedy secara solo,” tambahnya.

Sementara itu, Nabil turut memberitahu wang hasil kemenangannya pada malam akhir Maharaja Lawak Mega 2014, masih belum difikirkannya lagi. Tetapi akan menghantar kedua-dua ibu bapa dan mertuanya menunaikan umrah dalam masa yang terdekat ini.

“Saya tak plan lagi mengenai duit itu, cuma mak, abam dan mertua akan saya hantar pergi umrah dulu dan mungkin duit itu akan saya gunakan untuk saya dan keluarga menyusul pula untuk mengerjakan umrah,” katanya. (rtky/hfz)