fbpx

Popular dengan tagline Muzik Hits Terbaik, ERA fm terus gah berdiri sebagai stesen radio pilihan pendengar di Malaysia dan tanggal 1 Ogos yang lalu meyaksikan stesen radio ini menyambut ulangtahun yang ke 15.

Bertepatan dengan tagline mereka, pada 1 Jun yang lalu ERA fm telah memperkenalkan dua muka baru yang bakal menceriakan hari anda iaitu Aril (AF7) dan juga Nabil Ahmad yang bakal mengendalikan slot MeleTOP 40 ERA jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Bercakap dengan Pengurus Radio ERA fm Nazri Noran, pengambilan Nabil sebagai pengganti Datuk Aznil Hj. Nawawi adalah kerana mereka berani dan percaya dengan kehadiran Nabil di dalam industri serta sudah lama mengenali Nabil ketika dia masih lagi menjadi penyampai radio di sebuah stesen radio swasta sebelum ini.

“Kalau ikutkan Nabil sudah bersama kami bermula pada tahun 2008 ketika itu dia bersama Saiful Apek. Selepada dia menjuari satu anugerah popular tahun lalu saya ada menyuarakan hasrat untuk membawa dia masuk namun ketika itu rezeki masih belum berpihak kepada kami. Tambahan pula, saya percaya Nabil mampu mengendalikan segmen ini dengan caranya tersendiri berbeza dengan Pak Nil”

“Sebelum Nabil menerima tawaran untuk menyertai kami juga saya telah memberi idea kepadanya untuk menjadikannya sama seperti penyampai radio terkenal luar negara contohnya Rick Dees Top 40 dan dia menyukainya”

Nazri Noran yang telah mengendalikan stesen ini bermula pada tahun 2009 memberitahu dia mahukan segmen yang dikendalikan oleh Nabil mampu menandingi penangan yang diterima oleh JoHaRa pagi di Era yang telah keudara dua tahun lalu bermula Januari.

Selain itu, pada 31 Ogos ini akan diadakan perlawanan bola sepak yang diberi nama Fiesta Muzik & Bolaa ERAVAGANZA bertempat di Stadium Hang Jebat, Melaka bermula jam 3 petang.

Antara selebriti sukan yang turut beraksi seperti Santokh Singh, So Chin Aun, Ramli Joned, Azlan Johar, Anuar Abu Bakar, Azmi Mahmud, Azman Adnan, Hafizal Hamad, Nazab, Asmawi dan ramai lagi yang menggelarkan diri mereka sebagai Arena Allstars FC. Barisan profesional ini akan menentang pasukan Era yang menggelarkan diri mereka sebagai Eravengers FC.