Jika sebelum ini Shuib Sepahtu dipanggil oleh pihak SPRM, terbaru Nabil Ahmad mengesahkan dia antara individu yang tampil memberi keterangan berhubung urusan wang haram oleh sindiket Macau Scam.
Bagaimanapun, Nabil berkata dia dipanggil untuk membantu siasatan dan tiada apa-apa yang berlaku memandangkan dia tidak terbabit dengan sindiket tersebut.
BACA: Nabil Ahmad Hidap Angin Pasang, Masih Bergantung Pada Ubat
“Kes ini sudah selesai. Mereka tanya berkenaan pembukaan kedai minuman Bubble Bee di Seremban dan saya maklumkan ia belum beroperasi lagi.
“Selepas itu mereka terus tak tanya apa-apa lagi dan itu sahaja soalannya. Ini kerana kalau tiada kedai buat apa nak siasat,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas mengenai tarikh kedai minuman kendaliannya itu akan beroperasi, Nabil berkata dia menyerahkan segala-galanya kepada Shuib dan mungkin perlu tunggu sehingga kes tersebut selesai.
“Tunggulah kes Shuib selesai baru akan diteruskan. Lagipun semua urusan termasuk sewa kedai dia yang uruskan. Saya memang nak sangat buka kedai itu tapi tetap kena tunggu kesnya selesai. Saya sangat simpati dengan Shuib.
“Saya lega apabila tidak dikaitkan tapi saya harap kita dapat doakan untuk Shuib. Allah uji dia dan nak naikkan darjatnya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lima selebriti termasuk seorang wanita terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pengacara tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berkaitan kes tersebut.