Kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan di seluruh negara dijangka menerima manfaat apabila kos penghantaran bekalan ubat susulan menerusi inisiatif Ubat Melalui Pos (UMP) ditanggung sepenuhnya mulai 1 Oktober ini.

Pembiayaan inisiatif itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Putrajaya hari ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, UMP merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi menerusi MCMC dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan secara percuma.

“Berkuat kuasa 1 Oktober 2026, kos penghantaran ubat susulan bagi pesakit yang layak akan ditanggung sepenuhnya bagi tempoh setahun.

“Inisiatif ini diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit memanfaatkan perkhidmatan kesihatan digital, di samping memudahkan akses kepada bekalan ubat-ubatan tanpa perlu hadir ke fasiliti kesihatan,” katanya.

Menurut MCMC, inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 80,000 pesakit setiap bulan di seluruh negara dengan anggaran kos penghantaran sebanyak RM5 juta yang ditanggung sepenuhnya.

Kata kenyataan itu, MCMC akan menyelaras pelaksanaan inisiatif berkenaan selaras dengan peranannya sebagai badan kawal selia sektor pos negara, manakala KKM kekal bertanggungjawab terhadap pengurusan kelayakan pesakit dan penyediaan bekalan ubat-ubatan.

“Urusan penghantaran pula akan dilaksanakan oleh Pos Malaysia Berhad,” katanya.

Fahmi Fadzil dan Dzulkefly Ahmad melancarkan inisiatif penghantaran ubat secara percuma melalui perkhidmatan pos.

Pelaksanaan pembiayaan UMP itu merupakan susulan pengumuman Fahmi ketika pelancaran Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) pada 15 Jun lalu.

Menurut MCMC, pelaksanaan berkenaan sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas manfaat perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Haji Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar Syed A.R Albar.

Kredit Gambar: FB Dr. Dzulkefly Ahmad

×