Penyanyi yang popular dengan lagu “Pulangkan” dan juga “Angin Syurga” Misha Omar mengesahkan bahawa dia bakal berkahwin pada Februari tahun depan di Kota Baharu, Kelantan.

“Alhamdullilah setelah ditangguhkan selama dua tahun, kami akhirnya telah sepakat untuk mengumumkan berita perkahwinan yang bakal berlangsung pada bulan Februari tahun hadapan,” ujarnya yang ditemui di majlis Memperkenalkan Duta Produk Colourland di The Bee, Publika, siang tadi.

Namun begitu Misha memberitahu tarikh sebenar masih belum diputuskan oleh kedua-dua belah pihak kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya namun begitu mungkin selepas raya akan diumumkan.

“Saya memilih bulan Februari bersempena genap dua tahun kami mengikat tali pertunangan tambahan pula pada saya bulan Februari sangat manis. Namun begitu saya menanti kedua-dua belah pihak untuk membincangakan secara lebih lanjut selepas raya.”

Melihat rakan-rakan dan juga para peminat yang sememangnya ramai di Kuala Lumpur membuatkan hati Misha berbelah bahagi untuk membuat majlis di sini, permintaan keluarga harus ditunaikan dan mereka bakal membuat majlis di kota Baharu iaitu tempat kelahiran Misha Omar.

“Saya harus akur dengan permintaan keluarga, lagipun keluarga saya memang ramai di sana dan kami sebulat suara telah merancang untuk mengadakan majlis pernikahan di sana.”

Tambahnya lagi, dia berasa lebih tenang dan seronok untuk menjalani kehidupan sekarang dan kini semakin produktif di dalam melayari kehidupan sebagai anak seni yang sudah bertapak selama 11 tahun di Malaysia.

“Lega rasanya dapat bercerita mengenai hari besar saya nanti, kehidupan saya juga semakin produktif kerana tahun ini sahaja jadul kerja saya sangat penuh, dengan lakonan dan ada juga menjayakan teater. Saya semakin selesa sekarang,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Misha Omar bakal keluar dengan single terbaru dan juga album eempatnya tidak lama lagi, kami doakan Misha dipermudahkan urusan hingga tiba hari bersejarah nanti.