fbpx

“Mereka Semuanya Malaikat, Saya Bukan” – Zul Ariffin

Pagi tadi, pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang di Instagram.

Memetik Harian Metro, Zul berkata biarlah dirinya sahaja yang mengaku bersalah serta menyifatkan orang lain ‘malaikat’ namun tidak dirinya.

BACA: Zul Ariffin Mengaku Bersalah Muat Naik Kandungan Sumbang

Zul berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan susulan terhadap pihak dipercayai memintanya memuat naik video itu.

“Tiada tindakan sebab orang lain yang terbabit semuanya ‘malaikat’, saya seorang saja tidak. Jadi, saya sajalah yang mengaku bersalah. Tidak mengapa,” katanya.

Menurut Zul lagi, apa yang berlaku pada dirinya dapat dijadikan pengajaran kepada pelakon lain sebelum memuat naik sebarang promosi untuk setiap karya terbaharu.

“Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan kes ini sebagai pengajaran kepada semua orang di luar sana termasuk pelakon.

“Kalau disuruh muat naik apa-apa kandungan, tidak perlulah beriya-iya sangat. Betul tak? Kalau disuruh juga untuk tujuan promosi, tolong berhati-hati dan jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar ‘selfie’ pun sudah memadai. Tak rugi apa pun,” katanya.

Dalam pada itu, Zul berkata dia mengaku bersalah kerana tidak mahu memanjangkan kes berkenaan serta enggan membazir masa mana-mana pihak. Ujarnya lagi, dia meluahkan rasa syukur dan terharu menerima sokongan daripada rakan-rakan.

“Saya lega dengan keputusan ini. Walaupun saya tak pernah berdepan dengan situasi ini iaitu terbabit dengan kes besar di mahkamah, tapi dengan nasihat peguam dan sokongan daripada rakan-rakan yang hadir saya sangat terharu.

“Saya ingatkan tiada yang akan datang beri sokongan tapi Alhamdulillah ramai yang hadir termasuk rakan media. Saya enggan bazir masa mahkamah atau sesiapa. Jadi saya memilih mengaku bersalah kerana saya yang memuat naik video terbabit.

“Jika tidak, perkara ini akan terus berlanjutan dan saya tak nak hidup dengan rasa yang begitu. Jadi langkah terbaik saya anggap ini kesalahan atas kelakuan saya selain rasa bersalah kepada Allah,” katanya.