fbpx

“Mendoakanmu Adalah Caraku Untuk Mencintaimu”

Aidilfitri yang disambut tahun ini sememangnya cukup berbeza buat Bunga Citra Lestari dan Noah Sinclair apatah lagi tanpa suami serta bapa tersayang disisi iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair.

Sempena Hari Raya, BCL berkongsikan sebuah video khas buat arwah suaminya. Bait-bait kata buat suaminya itu ternyata membuatkan netizen tersentuh. BCL berkata tidak pernah satu hari pun dirinya tidak merindui suaminya itu.

BACA: Gambar BCL & Noah ‘Peluk’ Ashraf Sinclair Buat Netizen Sebak

“Buat cintaku, meskipun ragamu sudah tiada di sini, tapi jiwamu akan selalu berada dengan jiwa kami. Dan mendoakanmu, adalah caraku untuk mencintaimu.

“Maaf lahir batin, ya sayang. Buat cintaku, saya merinduimu setiap hari. Kami tahu, kamu mahu kami jadi gembira,” katanya.

Meskipun tanpa Ashraf, Bunga meluahkan rasa syukur dikelilingi keluarga tersayang menyambut Aidilfitri. termasuk ibu mertuanya yang sudah hampir dua bulan tinggal bersamanya.

“Kita mengerjakan solat Aidilfitri di rumah dengan Opah sebagai imam. Pengalaman baharu ini sangat indah. Aidilfitri kali ini sangat berbeza. Itu juga kerana keadaan COVID-19 yang membuatkan kita tak boleh keluar rumah untuk solat Aidilfitri ataupun menjalin silaturahim bersama keluarga besar dan sahabat.

“Seperti biasa, aku menyediakan masakan untuk lebaran kali ini seperti saat kamu masih ada. Teruskan tradisi untuk menjadikan ia mudah untuk Noah menjalani normal baharu.

“Aku semakin menyedari, di sebalik segala cabaran yang datang, aku bersyukur kerana masih mempunyai keluarga untuk bergantung. Ummi (ibu Ashraf) sanggup berjauhan dengan keluarga di Malaysia selama dua bulan untuk menemani aku dan Noah di sini.

Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Noah yang kini berusia 10 tahun.

Februari lalu, industri hiburan Malaysia dan Indonesia dikejutkan dengan pemergian mengejut Ashraf akibat serangan jantung.