MCMC Pilih TM Laksana Projek Kabel Dasar Laut SALAM RM2.7 Bilion

TM Technology Services Sdn. Bhd. (TM) dipilih sebagai pelaksana projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2.7 bilion bagi memperkukuh jaringan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, TM ditetapkan sebagai pemberi perkhidmatan sejagat yang bertanggungjawab mereka bentuk, melaksanakan dan mengendalikan sistem berkenaan, dengan perbelanjaan modal projek dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Menurut MCMC, pelaksanaan projek itu penting memandangkan penggunaan kapasiti rangkaian kabel dasar laut sedia ada yang beroperasi sejak 2017 kini mencecah kira-kira 85 peratus.

“Sistem SALAM akan meningkatkan kapasiti sambungan komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sekali gus menyokong penyediaan perkhidmatan digital yang lebih andal kepada komuniti, perniagaan dan Kerajaan.

“Sistem ini juga akan menyediakan laluan alternatif bagi trafik data, sekali gus mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan sekiranya kabel dasar laut sedia ada mengalami gangguan atau kerosakan,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Projek sepanjang kira-kira 5,500 kilometer itu akan dilaksanakan TM menggunakan teknologi kabel dasar laut Alcatel Submarine Networks (ASN).

Sebelum itu, pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Telekom Malaysia (TM) dan ASN turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Sistem SALAM akan melibatkan pembinaan 10 stesen pendaratan kabel dasar laut baharu, masing-masing dua di Semenanjung Malaysia, tiga di Sarawak dan lima di Sabah.

Di Semenanjung Malaysia, stesen berkenaan terletak di Cherating dan Sedili, manakala di Sarawak membabitkan Kuching, Sibu (Matu) serta Bintulu (Samalaju).

Lima lagi stesen di Sabah pula melibatkan Kota Kinabalu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau.

“Kapasiti tambahan ini akan menyokong peluasan jalur lebar dan rangkaian 5G, perkhidmatan awan, kecerdasan buatan (AI) serta pusat data, sekali gus menyediakan asas yang lebih kukuh untuk memperluas peluang digital, khususnya di Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Selain itu kata MCMC, empat pasangan gentian optik akan dikhususkan bagi memenuhi keperluan strategik negara termasuk infrastruktur awan berdaulat, perkhidmatan digital kerajaan dan keselamatan siber.

Katanya, pelaksanaan projek dijadualkan bermula pada pertengahan Disember 2026 dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2030.

Sebagai rekod, projek SALAM diumumkan menerusi Belanjawan 2026 dengan peruntukan awal RM2 bilion, sebelum MCMC membuka pelawaan kepada syarikat telekomunikasi untuk mengemukakan cadangan pelaksanaannya pada Julai lalu.

TM sebelum ini turut menyatakan minat menyertai projek berkenaan sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pelaksana hari ini.

×